mutakhir

'Mustahil kita muflis'

Oleh Rudy Fazrunisyam Samarudin dan Ifwan Tun Tuah

Port Dickson: Selepas satu demi satu hasil kejayaan kerajaan mentadbir negara diiktiraf, pembangkang semakin ketandusan isu untuk dimainkan bagi menarik sokongan rakyat.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, negara ada asas kukuh untuk terus maju dan membangun, malah banyak pihak termasuk Bank Dunia serta pelabur antarabangsa yakin dengan ekonomi Malaysia.

Katanya, keadaan ekonomi Malaysia yang baik terbukti apabila mencatat pertumbuhan 5.9 peratus tahun lalu menyebabkan Bank Dunia membuat tiga kali semakan terhadap unjuran awal yang diramal sebelum ini.

“Selain itu, dividen (pelaburan) naik, eksport naik sehingga RM83.5 bilion, janji nak bagi Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kita tunaikan. Kalau nak bankrap, jangan mimpi (kerajaan) boleh bagi bantuan BR1M sehingga RM6.8 bilion.

“Kita bukan janji kosong, bukan buat manifesto tapi kata tidak terikat pula (kepada manifesto itu). Kerajaan BN menunaikan 97.5 peratus daripada manifesto yang kita buat.

“Kita berpolitik, jangan suka tembak dan hentam kromo, kena bagi cadangan lebih membina. Tapi pembangkang tiada cadangan konstruktif untuk dibawa,” katanya pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat Telok Kemang di Dataran Kompleks Daerah dan Tanah Port Dickson di sini, semalam.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Telok Kemang, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

Najib berkata, langkah syarikat besar termasuk dua syarikat antarabangsa terkenal yang baru saja menyatakan hasrat melabur di Malaysia menunjukkan keyakinan mereka terhadap kestabilan ekonomi negara dan dasar diamalkan kerajaan.

Katanya, syarikat berkenaan iaitu pengeluar kereta terkemuka dunia, Groupe PSA dari Perancis dan syarikat konglomerat kedua terbesar Korea Selatan, SK Group itu menjadikan Malaysia sebagai hab dan tapak mereka di rantau ini.

“Pagi tadi (semalam) saya hadir pada majlis menandatangani perjanjian antara Naza Corporation Holdings Sdn Bhd (Naza Group) dengan pengeluar kereta terkemuka dunia, Groupe PSA dari Perancis bagi menjadikan Malaysia sebagai hab pengeluaran kereta jenama Peugeot dan Citroen bagi pasaran ASEAN.

“Kerjasama itu bagi kilang Pembuatan Automotif Naza (NAM) milik Naza Group di Gurun, Kedah.

“Ia juga menjadikan Naza Group, konglomerat automotif terkemuka negara secara bersama mengeluarkan kenderaan Groupe PSA untuk pasaran Malaysia dan ASEAN,” katanya.

Najib berkata, beberapa hari lalu beliau turut menyaksikan perjanjian kerjasama dengan SK Group yang meneroka peluang pelaburan dalam bidang teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) serta rangkaian generasi kelima (5G), minyak dan gas, teknologi hijau serta bandar pintar.

Menurutnya, SK Group sebuah syarikat Fortune 100 dan konglomerat kedua terbesar oleh permodalan pasaran di Korea Selatan.

“Kalau Malaysia di ambang muflis seperti didakwa pembangkang, tidak mungkin dua konglomerat terbesar dunia itu sanggup datang ke sini.

“Kalau dengar cakap pembangkang, amat teruk (ekonomi negara). Semua tak betul, negara akan bankrap,” katanya

Beliau berkata, disebabkan kejayaan kerajaan itu, pembangkang tiada modal menyerang kerajaan memaksa mereka menjadikan perkara remeh termasuk amalan beliau menjadikan bijirin quinoa sebagai makanan tambahan sebagai isu untuk dimainkan.

Disiarkan pada: February 27, 2018 @ 7:02am
d