mutakhir

Dialog dengar aspirasi belia

Oleh Suliati Asri

Kuala Lumpur: Usaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mendampingi belia di seluruh negara melalui pelbagai medium seperti sesi dialog, bengkel dan saluran dalam talian sepanjang tahun lalu mendapat sambutan sangat menggalakkan.

Usaha julung kali menerusi Transformasi Nasional 2050 (TN50) ini bertujuan mendengar aspirasi serta idea mereka untuk masa depan negara menjelang 2050.

Ia bermula dengan dialog pertama, Transformasi Nasional 2050 (TN50) atau Dialog Perdana TN50 pada 19 Januari tahun lalu di Dewan Tunku Canselor Universiti Malaya bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin diikuti beberapa siri Dialog TN50 di Terengganu, Johor, Perak, Kelantan, Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan serta Sabah dan Sarawak.

Melalui siri dialog itu, pelbagai aspirasi diterima dan diterjemahkan ke dalam bab utama. Antaranya pemikiran masyarakat global yang inovatif dan berwawasan, negara yang memelihara sumber alam semula jadi, masyarakat bersatu dalam kepelbagaian, negara yang tetap mengekalkan budaya dan adat serta aspek kesamarataan diterapkan kepada seluruh masyarakat di Malaysia.

KBS turut mengadakan sesi Dialog TN50x (Dialog Korporat & Dialog Bertema) dikendalikan badan kerajaan dan swasta bagi mengumpul aspirasi dan idea.

Melalui inisiatif pendampingan belia bersama KBS itu, hampir 2 juta rakyat daripada pelbagai latar belakang sudah didekati dan lebih daripada 60,000 aspirasi yang berbeza diterima.

Aspirasi itu diperhalusi dan dibahaskan melalui siri bengkel Kumpulan Masa Depan TN50 dianggotai duta belia, ahli belia serta pakar subjek dan kini dirumuskan ke dalam Laporan Kanvas Belia TN50 yang akan diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, esok.

Memperhalusi lagi aspirasi yang dikumpul dalam fasa satu dan meneroka implikasinya untuk masa depan Malaysia, Kumpulan Masa Depan TN50 adalah program fasa kedua pendampingan belia KBS di mana lebih 200 Ahli Belia dan Pakar digandingkan.

Di samping menyelami aspirasi secara mendalam ke arah mencadang hala tuju dan sasaran 2050 untuk negara daripada perspektif belia, ia turut mengenal pasti inisiatif berpotensi dilaksanakan dalam masa terdekat ke arah mencapai sasaran belia TN50.

Terdapat lima Kumpulan Masa Depan TN50 dilancarkan Perdana Menteri 26 Mei lalu yang membincangkan topik berkaitan Ekonomi & Pekerjaan, Kehidupan & Kesejahteraan, Tadbir Urus, Masyarakat dan Gaya Hidup.

Kumpulan ini juga membantu menterjemahkan aspirasi yang diterima menjadi cadangan hala tuju dan matlamat yang lebih terperinci daripada perspektif belia yang mampu dilaksanakan dalam proses pembentukan program dan dasar kerajaan di masa hadapan.

Selain itu, bengkel Makmal Percambahan Idea Belia turut diadakan di mana ahli Kumpulan Masa Depan TN50 berkumpul serta menjalankan perbincangan selama dua hari dalam membincangkan idea dan inisiatif yang mampu merealisasikan aspirasi dan impian belia untuk Negara menuju ke arah Transformasi Nasional 2050.

Daripada aspirasi ke realiti, ia menjadi Idea TN50 iaitu penerokaan awal kepada aspirasi yang disampaikan belia Malaysia untuk mencipta idea-idea dan cadangan yang menterjemahkan aspirasi belia kepada realiti, yang mampu untuk membantu Transformasi Nasional 2050 (TN50) mencapai visinya menjelang 2050 nanti.

Terdapat beberapa Idea TN50 yang dicadangkan oleh ahli Kumpulan Masa Depan TN50 yang dipaparkan dalam sorotan digital draf laporan Kanvas Belia TN50 iaitu Pakej Bimbingan Awal Anak Malaysia oleh Nurhisham Hussein dan June Yap, SMK Unicorn, Sekolah Rintis Masa Depan oleh Dzameer Dzulkifli dan Firdaus Ali, Programme More (Healthy Food) & Play More oleh Raja Jesrina Arshad, Penglibatan Rakyat Dalam Kerajaan Tempatan oleh Afiq Johar, Indeks Penggunaan Tanah Mampan oleh Dzaeman Dzulkifli dan Nik Nabila, Menggunakan Kecerdasan Buatan (AI) Dalam Kerajaan oleh Dr Dhesi Raja, Hab Komuniti Bersepadu Masa Depan oleh Fadzli Rahim, Khidmat Malaysia oleh Faisal Ariff, Program Malaysia Connection oleh Alena Murang, Kampung Pintar Malaysia oleh Ganesh Muren dan Atlet Pencetus Industri
oleh Sharon Wee.

Disiarkan pada: February 27, 2018 @ 7:07am
d