mutakhir

Kemaruk kaya

Oleh Nor Azizah Mokhtar

Kuala Lumpur: Penipuan skim ponzi atau skim cepat kaya masih mendominasi ‘carta’ paling atas kes jenayah komersial di negara ini membabitkan nilai kerugian beratus juta ringgit setiap tahun.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata, terdapat peningkatan membimbangkan berhubung kes penipuan dalam tempoh empat tahun kebelakangan ini.

Menurutnya, kemunculan trend mega membabitkan teknologi digital disokong oleh akses dunia media sosial tanpa sempadan dilihat menyumbang kepada kepelbagaian trend jenayah komersial terutamanya jenayah siber.

Menurut beliau, sepanjang tahun 2015, sebanyak 19,509 kes dilaporkan dan jumlah itu meningkat kepada 26,277 kes pada tahun 2016.

“Bagi tempoh 2017 pula, sebanyak 28,271 kes dilaporkan dan untuk tempoh tahun ini sahaja sebanyak 2,233 kes dilaporkan sehingga semalam.

Money game (penipuan skim ponzi) paling banyak menunjukkan peningkatan,” katanya dalam sidang media pada Perhimpunan Bulanan Bukit Aman di sini, anjuran Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), semalam. Bagaimanapun, menurut Mohamad Fuzi, JSJK berjaya meningkatkan kadar pertuduhan kes pada 2017 dengan 6,417 pertuduhan atau 24.4 peratus daripada keseluruhan 28,271 kes berbanding jumlah pertuduhan kes pada 2016 iaitu sebanyak 17.8 peratus.

“JSJK turut agresif dalam membanteras jenayah itu dengan melaksanakan 12,203 operasi dan serbuan sepanjang tahun lalu selain menahan 11,691 individu atas pelbagai kesalahan jenayah komersial.

“Sebanyak 9,864 operasi dan serbuan diklasifikasikan sebagai berjaya. Jumlah operasi dan serbuan yang dilakukan mereka melangkaui Petunjuk Prestasi Utama (KPI) ditetapkan iaitu sebanyak 7,500 operasi dan serbuan setahun,” katanya.

Disiarkan pada: February 27, 2018 @ 7:19am
d