mutakhir

Lima bot nelayan hangus [METROTV]

Oleh Hafizudin Mohd Safar

LIMA bot musnah dalam kebakaran berhampiran perkampungan nelayan di Kuala Perlis, hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Mohamad Firdaus Yusof berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.44 pagi.

Menurutnya 27 anggota bomba dikejarkan ke lokasi kejadian dan apabila tiba mendapati beberapa bot nelayan jenis kayu terbakar.

"Pasukan Bomba mengambil masa satu setengah jam untuk mengawal api.

"Operasi mengawal kebakaran berjaya menghindarkan api daripada merebak ke kawasan perumahan nelayan yang terletak tidak jauh dari lokasi kebakaran," katanya ketika dihubungi.

Firdaus berkata, pihaknya terpaksa menggunakan sepenuhnya bekalan air dari jentera bomba memandangkan air laut yang surut dan tidak dapat disedut untuk membantu operasi mengawal kebakaran itu.

Operasi memadam kebakaran turut dibantuPasukan Bomba Sukarela dari Kodiang, Tunjang, Pauh, Kuala Perlis dan Simpang Empat.

Firdaus berkata, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Disiarkan pada: February 27, 2018 @ 10:14am
d