mutakhir

Sarjan dicekup minta RM6,000

Oleh Mohd Hilmie Hussin

ANGGOTA polis berpangkat Sarjan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka semalam, kerana meminta suapan RM6,000 bagi membebaskan seorang pesalah.

Anggota yang juga ketua di balai polis di daerah Melaka Tengah di sini, itu ditahan selepas meminta sogokan daripada keluarga seorang pesalah berkaitan kes dadah.

Pengarah SPRM negeri, Abu Talib Othman berkata, tangkapan itu dilakukan di sebuah balai polis, 5.30 petang.

"Anggota polis berusia 53 tahun itu ditahan selepas meminta sejumlah wang tunai RM6,000 bagi tujuan membebaskan suspek yang memiliki dadah.

"SPRM menerima aduan daripada orang awam, sebelum tangkapan dibuat. Siasatan masih dilakukan sebelum mendapatkan perintah reman," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Program Sahabat Cilik SPRM dan Maskot SPRM di Sekolah Kebangsaan Telok Mas, di sini, hari ini.

Ditanya sama ada transaksi wang sudah dilakukan, Abu Talib enggan mendedahkannya kerana masih menjalankan siasatan.

"Tangkapan adalah yang pertama membabitkan anggota polis di Melaka pada tahun ini.

"Saya nasihatkan jangan sesekali melakukan rasuah dan salahguna kuasa kerana lambat laun akan tertangkap juga," katanya menambah akan ada beberapa lagi tangkapan pada tahun ini susulan siasatan lanjut yang dilakukan hasil aduan diterima agensi itu.

Disiarkan pada: February 27, 2018 @ 12:36pm
d