mutakhir

Lima lelaki berdepan tali gantung

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

LIMA lelaki termasuk tiga warga India berdepan hukuman mati selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret Rembau, hari ini, atas pertuduhan mengedar dadah.

Tertuduh Azizul Shahari, 32; V Gunasegar, 29; dan tiga warga India iaitu Shajahan Yoosaf Kunju, 31; Noushadkutty Sulaiman, 40; serta Nahas Aboobaker, 41, mengangguk faham terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah.

Pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Tan Chai Wei itu dibuat mengikut Seksyen 39B (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa mengedar dadah jenis syabu dianggarkan seberat 68.24 kilogram.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah ladang ternakan di Jalan Pilin, Kampung Kundur Tengah, Pedas di sini, 4.15 petang, pada 13 Februari lalu.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya K S Rinisha Priyya manakala semua tertuduh diwakili peguam Shah Rizal Abdul Manan.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada semua tertuduh.

Mahkamah tidak membenarkan ikat jamin dan menetapkan 28 Mac depan untuk sebutan semula kes.

Akhbar baru-baru ini, melaporkan Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) Bukit Aman, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Negeri Sembilan, membongkar kegiatan satu sindiket pengedaran dadah hasil serbuan di ladang ternakan lembu yang dijadikan makmal proses syabu pada 13 Februari lalu.

Dalam operasi berasingan selama dua hari di Negeri Sembilan dan Selangor bagi menumpaskan sindiket terbabit, secara keseluruhan, polis menahan 16 individu, termasuk lapan orang yang dipercayai anggota kumpulan kongsi gelap, Geng 36.

Disiarkan pada: February 27, 2018 @ 3:17pm
d