mutakhir

'Terus jadi mayat hidup'

Oleh Junita Mat Rasid

HAMPIR semua 142 lelaki serta dua wanita yang ditahan dalam Ops Sarang di Kampung Melayu Pandan dan Kampung Ubi, Johor Bahru didapati kes dadah berulang dan pernah beberapa kali ditahan akibat kesalahan sama.

Ketua Penolong Pengarah Pasukan Khas Taktikal dan Perisikan Narkotik (STING) Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Baharom Othman berkata, semua lelaki dan wanita berusia antara 20 hingga 60 tahun itu ditahan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, STING Bukit Aman dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Katanya, operasi bermula jam 4 sehingga 11 pagi itu membabitkan keseluruhan 16 pegawai dan 68 anggota dalam usaha memastikan lokasi dikenal pasti menjadi sarang penagih dadah dapat dibersihkan.

"Daripada jumlah ditahan itu, 105 orang didapati positif penggunaan pelbagai jenis dadah dan disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

“Manakala tiga kes membabitkan memiliki dadah disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya pada sidang media di IPK Johor, hari ini.

Baharom berkata, pihaknya akan terus meningkatkan usaha dan operasi membanteras penyalahgunaan dadah secara menyeluruh termasuk penagih dan pengedar di peringkat jalanan.

Katanya, sejak Ops Sarang diperkenalkan pada 2015, pihaknya berjaya mengesan dan menghapuskan sarang penyalahgunaan dadah dalam tempoh beberapa tahun lalu termasuk di Johor.

“Polis membanteras penyalahgunaan dadah ini secara menyeluruh termasuk penagih, penjual dan pengedar dadah jalanan.

“Kita tidak hanya memberi tumpuan pengedar dadah, malah di kawasan yang dikatakan menjadi sarang penagihan dadah," katanya.

Baharom berkata, menerusi penahanan di sarang penagih dadah, pihaknya boleh mendapat maklumat mengenai mereka yang dikenal pasti mengedar dadah untuk bekalan penagih terbabit, sekali gus membantu mengesan pengedar dadah jalanan.

Selain itu, beliau berkata, sejak awal tahun ini, Johor berjaya menumpaskan tujuh kes dadah dikategorikan sebagai kes besar, sejak beberapa kes membabitkan makmal dadah ditumpaskan dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.

Disiarkan pada: February 27, 2018 @ 7:02pm
d