mutakhir

Belok ke kanan, gegelung konkrit terjatuh

Oleh Mohd Hasbi Sidek dan Nurul Hidayah Bahaudin

GEGELUNG konkrit seberat kira-kira 10 tan terjatuh dari lori di persimpangan lampu isyarat Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur , 2.30 petang, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya, berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 2.45 petang.

“Kami dimaklumkan satu gegelung konkrit yang dianggarkan seberat 10 tan jatuh dari treler yang dipandu lelaki tempatan berusia 33 tahun.

“Difahamkan, ketika pemandu treler terbabit membelok ke kanan di lampu isyarat DBP, muatan gegelung terbabit terjatuh di atas jalan dipercayai kerana ikatan tidak kemas,” katanya.

Zulkefly berkata, pemandu terbabit memaklumkan gegelung itu diambil di projek menara Pudu di hadapan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur untuk dihantar ke stor simpanan di Batang Kali, Selangor.

“Kerja mengalihkan dan mengangkut semula gegelung selesai pada 4.30 petang dan pemandu diarahkan tidak meneruskan perjalanan kerana jalan sesak menghampiri waktu puncak.

“Treler itu diletak di tepi Jalan Maharajalela, Kuala Lumpur, untuk sementara waktu,” katanya yang turut memaklumkan pemandu terbabit dikenakan sama selain mengesahkan tiada kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda dilaporkan berikutan kejadian itu.

Sementara itu, seorang saksi, Azat Nazuri Nazuri, 35, berkata, beliau terkejut melihat gegelung konkrit berada atas jalan apabila menghampiri lokasi kejadian, difahamkan jatuh dari lori ketika melalui selekoh dalam perjalanan dari Jalan Imbi menuju ke Jalan Maharajalela.

“Saya menghampiri lokasi kejadian dan sempat berbual dengan pemandu lori berkenaan yang mendakwa hari ini hari pertama beliau bekerja, namun tidak pasti sama ada baru bekerja membawa lori atau baru bekerja dengan syarikat itu,” katanya ketika dihubungi.

Azat berkata, gegelung konkrit tidak menimpa mana-mana kereta atau pengguna jalan raya dan sebuah kren dibawa untuk mengangkatnya.

“Ketika proses mengalihkan gegelung itu, rantai pada kren terputus tetapi akhirnya berjaya juga dibawa naik ke atas lori sekitar 5 petang, ” katanya.

Disiarkan pada: February 27, 2018 @ 8:35pm
d