mutakhir

Tokan dicekup dalam kebun getah

Oleh Zaid Salim

TINDAKAN lelaki, 39, menjadikan kebun getah sebagai ‘port’ pengedaran dadah gagal mengaburi pihak polis apabila dia ditahan dalam serbuan, semalam.

Serbuan terbabit dilakukan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut pada 1.10 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, ketika serbuan suspek dari Besut berada di kebun getah Kampung Kepala Gajah, Jerteh dipercayai sedang menunggu pelanggan.

"Ketika anggota memperkenalkan diri, suspek cuba melarikan diri, namun gagal apabila berjaya ditahan tidak jauh dari tempat dia menunggu pelanggan," katanya.

Menurutnya, susulan tangkapan itu, pihaknya merampas sebanyak 173 biji pil merah dan dua biji pil hijau dipercayai dadah dianggarkan bernilai RM1,750.

Katanya, sebanyak 135 biji pil ditemui dalam beg plastik biru, manakala 40 biji lagi diisi dalam empat paket plastik cerah berangkai dengan setiap satu mengandungi 10 biji pil.

“Beg plastik biru itu ditemui di atas tanah dipercayai dibuang suspek ketika melarikan diri, dan ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.

Katanya, suspek ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Disiarkan pada: February 28, 2018 @ 12:51am
d