mutakhir

'Ikut jadual ayah'

Oleh Siti A’isyah Sukaimi

Putrajaya: Biarpun hidup dalam keadaan serba kekurangan berikutan pendapatan sebagai buruh tidak sebesar mana namun Razali Awang, 72, dan isteri, Esah Abdullah, 70, tidak pernah menganggap ia sebagai halangan memberikan pendidikan terbaik kepada 13 anak mereka.

Malah, ketika muda dan masih sihat, Razali dan isteri, Esah turut melakukan pelbagai kerja bagi menambah pendapatan keluarga.

Hasil penat lelah dan berkat kesabaran mereka berdepan kepayahan hidup, akhirnya dibalas Allah SWT apabila semua anak mereka berjaya dalam pelajaran termasuk ada yang berjaya menamatkan pengajian di Amerika Syarikat, Ireland, Belgium dan Jerman dalam jurusan kejuruteraan dan perubatan.

Kelmarin, pengorbanan pasangan suami isteri terbabit terbalas apabila diumumkan penerima Anugerah Keluarga Mithali 2017 anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), sekali gus menerima hadiah wang tunai RM50,000, trofi, sijil berserta hadiah iringan.

Berkongsi resipi mendidik anak, Razali yang berasal dari Kuala Terengganu berkata, sejak dahulu, dia seorang yang tegas dalam mendidik, malah sentiasa mengambil berat soal pendidikan selain menerapkan nilai keagamaan di rumah.

“Dalam mendidik, saya tegas dan ketika anak masih kecil, saya sendiri menyediakan jadual harian misalnya waktu mengulang kaji pelajaran, solat, makan, mengaji al-Quran dan sebagainya.

“Semua anak mesti mematuhi jadual harian masing-masing dan jika mereka tidak melakukannya, saya akan suruh dan menasihatkan supaya melaksanakannya segera,” katanya ketika ditemui media pada majlis Anugerah Keluarga Mithali 2017 anjuran YADIM di sini, kelmarin.

Hadiah disampaikan kepada penerima oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang mewakili Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Pada masa sama, Razali berkata, biarpun dia dan isteri tidak belajar tinggi, mereka sangat menitikberatkan pelajaran bagi setiap anak mereka.

“Dari segi pendidikan agama seperti pengajian al-Quran, solat serta fardu ain yang lain, Alhamdulillah saya boleh mendidik mereka namun dalam masa sama saya mahu mereka berjaya pada pelajaran masing-masing,” katanya.

Pada majlis berkenaan, Jamil Khir turut menyampaikan Anugerah Bapa Mithali kepada Yusuf Mohd Karim, 72, dari Muar, Johor yang membawa pulang wang tunai RM40,000, trofi, sijil dan hadiah iringan.

Bagi Anugerah Ibu Mithali, penerima ialah Hitam Abu, 83, dari Melaka yang menerima hadiah wang tunai RM40,000, trofi, sijil berserta hadiah iringan.

Disiarkan pada: February 28, 2018 @ 7:42am
d