mutakhir

Kapten kapal nafi beri rasuah [METROTV]

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

KAPTEN kapal dituduh di Mahkamah Khas Rasuah Petra Jaya, hari ini atas tuduhan memberi suapan kepada pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), April lalu.

Tertuduh, Chieng Siew Hang, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Nixon Kennedy Kumbong.

Mengikut pertuduhan, lelaki terbabit dituduh memberi suapan sebanyak RM1,400 kepada Pegawai Memerintah Kapal Maritim (KM) Semilang Mohamad Razif Zaidi sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap dua kesalahan yang dilakukannya.

Kesalahan yang dikesan dilakukan tertuduh

adalah tidak memiliki ketua jurutera dan Sijil Keselamatan Mengurus Kapal ketika mengemudi kapal Lipo Jaya II yang menjadi kesalahan mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

Tertuduh dituduh melakukan kesalahan itu pada kedudukan 37 batu nautika perairan Tanjong Po berhampiran Kuching pada 7.10 malam, 11 April tahun lalu.

Siew Hang dituduh mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun.

Tertuduh juga boleh dikenakan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Dzulkarnain Rousan Hasbi memohon mahkamah mengenakan jaminan sebanyak RM10,000 kepada tertuduh.

William Kong yang mewakili tertuduh kemudian memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan atas alasan tertuduh adalah penangung tunggal isteri dan empat anak.

Nixon kemudiannya memerintahkan tertuduh dijamin RM8,000 dengan seorang penjamin warga tempatan beralamat di Kuching selain pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah dalam tempoh tujuh hari bermula hari ini.

Mahkamah juga menetapkan 19 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula kes manakala 4 hingga 6 April depan sebagai tarikh perbicaraan.

Disiarkan pada: February 28, 2018 @ 11:32am
d