mutakhir

'Carilah rezeki yang diberkati'

Oleh Sharifah Mahsinah Abdullah

PELAKON dan pengacara popular, Neelofa, menggunakan pendekatan yang salah dengan melancarkan koleksi terbaharu hijab di pusat hiburan.

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, Neelofa mungkin berniat baik apabila melancarkan koleksi hijabnya tetapi pendekatan digunanya tidak betul dan menimbulkan tanggapan negatif masyarakat terhadap agama Islam.

"Saya melihat isu ini dalam keadaan positif. Beliau berniat untuk berdakwah di kelab malam itu dengan membawa pendekatan baik dengan memperkenalkan tudung.

"Tetapi cara penyampaiannya dengan mengadakan persembahan tarian itu adalah tidak betul," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohamad Shukri berkata, dalam Islam, apabila seseorang melakukan sesuatu, perlu dengan niat, cara dan matlamat yang baik dan betul.

"Islam menitik beratkan tiga perkara ini dan jika satu daripada tiga perkara ini tidak ada, maka ia dianggap salah atau tidak betul.

"Ketiga-tiga perkara ini hendaklah selari setiap masa dalam Islam," katanya.

Shukri berkata, Neelofa juga perlu berhati-hati dalam tindakannya akan datang kerana beliau adalah seorang selebriti yang mempunyai ramai peminat.

"Saya ingin menasihati beliau untuk merujuk dulu atau meminta pandangan ulama jika ingin mengadakan perkara seperti ini di masa akan datang," katanya.

Semalam, Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Zulkifli Mohamad melahirkan kekhuatiran tindakan Neelofa melancarkan koleksi terbaharu hijab di sebuah kelab malam bakal membawa fenomena normalisasi dalam bertudung.

Beliau turut berpesan kepada Neelofa untuk menghayati syariat Islam yang sebenarnya dengan bertanya kepada ulama sebelum bertindak, sentiasa memelihara imej wanita bertudung dan carilah rezeki yang diberkati Allah SWT.

Disiarkan pada: February 28, 2018 @ 12:20pm
d