mutakhir

Cari dadah, jumpa pistol palsu

Oleh Fitri Nizam

REMAJA lelaki ditahan selepas disyaki memiliki pistol tiruan yang disembunyikan di sebuah kilang bata dekat Kampung Gong Kepas Dalam, Kampung Raja, Besut, malam tadi.

Dalam operasi khas dijalankan pasukan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut bagi menangani isu penyalahgunaan dadah itu, suspek berusia 19 tahun terbabit ditahan.

Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, pada mulanya suspek ditahan selepas dipercayai terbabit dalam kes penyalahgunaan dadah, namun apabila pemeriksaan lanjut dilakukan remaja terbabit membawa pasukan serbuan ke kilang bata berkenaan.

Katanya, ketika berada di kilang usang terbabit, suspek menunjukkan bungkusan disembunyikan di bawah timbunan kayu sebelum polis menemui pistol berwarna hitam bertulisan HK USP.45 Auto dipercayai palsu.

“Hasil pemeriksaan polis menemui satu kelopak peluru dan dua butir bebola besi berwarna perak sebelum ia dirampas.

“Manakala ujian saringan air kencing terhadap suspek mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, suspek kini ditahan bagi membantu siasatan berhubung penemuan pistol terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971.

Disiarkan pada: February 28, 2018 @ 4:28pm
d