mutakhir

Bandaraya Seremban diisytihar tahun depan

Oleh Ifwan Tun Tuah

BANDAR Seremban bakal diisytiharkan sebagai bandar raya pada Januari tahun depan sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir ke-71.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, bagaimanapun penubuhan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) akan dibuat lebih awal iaitu pada minggu kedua April ini.

Katanya, prapelancaran pengisytiharan Seremban sebagai bandar raya dengan menubuhkan MBS akan diadakan bagi membolehkan proses penggabungan Majlis Perbandaran Seremban (MPS) dan Majlis Perbandaran Nilai (MPN) berjalan lancar.

“Enakmen MBS dijangka dibentangkan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 selesai,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat EXCO di Wisma Negeri, Seremban, hari ini.

Mohamad berkata, MBS mempunyai masa mencukupi untuk memperkemaskan urusan pentadbiran termasuk penyusunan semula kakitangan MPN dan MPS sebelum pengisytiharan rasmi Seremban sebagai bandar raya, Januari depan.

Katanya, pihaknya memberi jaminan tidak akan menaikkan sebarang cukai termasuk cukai taksiran, selain kadar bayaran semua lesen berikutan perubahan status MPN dan MPS kepada MBS.

Sementara itu, Mohamad berkata, beliau berhasrat memperkasakan penjaja di negeri ini dengan memperkenalkan banyak pusat penjaja makanan khas yang cantik dan mampu menjadi tumpuan pelancong.

“Kita bercadang membina pusat penjaja makanan yang kemas dan teratur serta menawarkan pelbagai tarikan hidangan unik seperti luar negara termasuk Singapura, Australia dan Perancis.

“Kita mungkin wujudkan pusat sedemikian di setiap kawasan pembangunan baru sekali gus dapat mengelakkan penjaja berniaga di jalanan sehingga menimbulkan masalah lain,” katanya.

Disiarkan pada: February 28, 2018 @ 5:47pm
d