mutakhir

Motosikal kekal carta atas

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

Kuala Lumpur: Pengguna motosikal kekal penyumbang tertinggi kes kemalangan maut sepanjang Op Selamat 12 sempena Tahun Baru Cina 2018 yang diadakan pada 9 hingga 23 Februari lalu.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, jumlah itu dapat dilihat apabila seramai 150 pengguna motoskal terbunuh daripada 208 kes maut dilaporkan dalam tempoh berkenaan.

Katanya, penyumbang kedua membabitkan pengguna kereta iaitu 46 kematian diikuti pejalan kaki 13 kematian, pengguna lori (lima kematian), pengguna van (lima kematian), pengguna basikal dan bas (masing-masing satu kematian) serta lain-lain pengguna lima kematian.

“Daripada jumlah kes kemalangan maut ini, 82 kes terbabas dipercayai memandu laju, mengantuk serta menggunakan telefon bimbit.

“Selain itu, faktor lain adalah kerana gagal memotong kenderaan, mengekori terlalu rapat, lawan aliran trafik, cuai keluar dan masuk simpang selain masuk ke laluan bertentangan,” katanya dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Kontinjen dan Daerah Terbaik Op Selamat 12 yang diadakan di Mes Pegawai Bukit Aman, di sini, semalam.

Hadir sama Pengerusi PLUS Malaysia Berhad, Tan Sri Mohd Sheriff Mohd Kassim dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Azman Ismail.

Noor Rashid berkata, sepanjang Op Selamat 12, sebanyak 385,547 saman dikeluarkan dan paling tinggi membabitkan kesalahan memandu lebih had laju iaitu 253,810 saman, melanggar lampu isyarat (4,630 saman), menggunakan telefon bimbit ketika memandu (2,853 saman) dan memandu di lorong kecemasan sebanyak 2,492 saman.

Noor Rashid berkata, selain itu pihaknya kini mengumpul data membabitkan pesalah lalu-lintas berulang bagi membolehkan tindakan susulan diambil terhadap mereka.

“Menerusi data ini nanti, kita mungkin akan melihat kemungkinan tertentu untuk mengambil tindakan terhadap mereka.

“Namun, segala-galanya bergantung kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk melihat sebarang tindakan yang perlu,” katanya.

Disiarkan pada: March 1, 2018 @ 7:35am
d