mutakhir

Bomba ajar lepas belitan ular

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi dan Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Sejak rumahnya beberapa kali ‘dicerobohi’ pelbagai spesies ular, Jamilah Che Bakar, 36, dari Kuala Nerang sentiasa mencari kaedah untuk mengatasi ketakutannya terhadap reptilia itu.

Setiap kali rumahnya dimasuki ular, dia perlu mendapatkan bantuan jiran tetangga untuk menangkap atau menghalau ular itu.

Apabila mendapat tahu demonstrasi menangkap dan melepaskan diri daripada belitan ular sawa anjuran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah sempena Ekspo Muafakat Kedah (EMK), Jamilah tidak melepaskan peluang untuk mengikutinya.

“Saya tinggal di Kuala Nerang, pelbagai jenis ular masuk ke rumah saya terutama di musim kemarau. Selalunya suami meminta bantuan orang kampung menghalau atau membunuh “Selepas ini dapatlah saya berkongsi petua yang saya belajar daripada demonstrasi hari ini,” katanya ketika ditemui di pentas Kluster 17, EMK di pekarangan Stadium Darul Aman di sini.

Jamilah antara 200 pengunjung EMK yang mengikuti demonstrasi itu dengan penuh minat, walaupun sebahagian daripada mereka fobia dengan reptilia itu.

Bagi pelajar Maktab Mahmood di sini, Sumaiyyah Ahmad Suki,17, dia sangat teruja melihat saiz ular sawa yang digunakan bagi tujuan demonstrasi terbabit.

Katanya, dia baru saja tahu terdapat teknik terbaik melepaskan diri daripada belitan ular sawa iaitu bermula daripada ekor.

“Ilmu ini sangat bermakna untuk orang ramai kerana seperti yang kita tahu terdapat banyak kes dilaporkan di akhbar dan ada mangsa menemui ajal akibat dibelit ular sawa.

“Selepas ini saya berkongsi dengan keluarga dan rakan di sekolah agar ia dimanfaatkan sekiranya keadaan tidak diduga itu berlaku,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Bahagian Latihan JPBM, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Abdul Muin Ayob berkata pihaknya menggunakan peluang itu sebaik mungkin bagi berkongsi teknik yang boleh digunakan sekiranya mahu menangkap ular atau melepaskan diri daripada belitan ular sawa.

“Kami membawa dua ular sawa seberat 40 kilogram (kg),” katanya.

Disiarkan pada: March 1, 2018 @ 7:41am
d