mutakhir

Dua pesawat terbang tinggi

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi dan Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Berkat kesabaran dan ketelitian tinggi, dua pelajar dari Langkawi mengharumkan nama Kedah apabila muncul juara Pertandingan Inovasi Kapal Terbang Kawalan Jauh Peringkat Kebangsaan sempena Ekspo Muafakat Kedah (EMK).

Pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kedawang itu akhirnya tersenyum puas apabila dua model pesawat pejuang, Typhoon dan F-22 Mustang ciptaan mereka mendapat perhatian juri.

Amirrul Azhar Jamailudin dan Amir Zaim Md Radzi, 17, bersyukur pesawat ciptaan mereka ‘terbang tinggi’ dan melayakkan mereka membawa pulang sijil dan medal ke Langkawi.

Pesawat ciptaan mereka yang diterbangkan dan membuat beberapa pergerakan menarik, mengetepikan cabaran 15 pasangan peserta lain dari seluruh negara.

Amir berkata, mereka berbangga dengan pencapaian itu tambah pula kali pertama menyertai pertandingan peringkat kebangsaan yang sebelum ini hanya menyertai di peringkat daerah.

Katanya, dia dan rakan memang minat dalam penciptaan pesawat malah menyimpan hasrat membentuk pesawat pejuang sendiri suatu hari kelak.

“Sepanjang empat hari menyertai bengkel sebelum pertandingan ini banyak memberi ilmu pengetahuan berkaitan inovasi dan kreativiti penciptaan pesawat.

“Kami juga memperoleh pengalaman berguna selain mengeratkan hubungan silaturahim dengan pelajar lain yang menyertai pertandingan ini,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah kemenangan di tapak EMK, di perkarangan Stadium Darulaman, di sini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi dan Sumber Tenaga Manusia negeri, Datuk Norsabrina Mohd Noor yang merasmikan penutupan Bengkel Kapal Terbang Kawalan Jauh dan menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Amir berkata, usaha mereka tidak terhenti di sini, sebaliknya akan terus menyertai pertandingan lain pada masa akan datang untuk menimba ilmu baru berkaitan teknologi pesawat.

Sementara itu, Amirrul berkata, mereka bersyukur dengan kemenangan diraih malah cabaran besar yang dihadapi sepanjang membina pesawat itu dapat diatasi dengan baik sehingga berjaya diterbangkan.

“Kami menggunakan bahan seperti kadbod foam dan tambahan barang seperti kipas kecil, bateri serta alat kawalan jauh yang digunakan untuk menerbangkan pesawat,” katanya.

Guru pengiring, Mohd Fariz Asri, 37, mengucapkan tahniah kepada dua pelajar terbabit di atas pencapaian mereka yang membanggakan.

“Usaha mereka bertungkus lumus untuk menyiapkan pesawat inovasi ini sehingga berjaya amat dipuji dan semoga selepas ini dapat diperkembangkan lagi.

“Tahniah buat mereka di atas kemenangan ini dan diharapkan terus menanam minat meneroka ilmu baru,” katanya.

Pada pertandingan itu, SMK Tunku Temenggung, Pendang muncul tempat ketiga keseluruhan sementara SMK Rantau Panjang, Kelantan tempat kedua keseluruhan yang membawa pulang medal dan sijil.

Sebanyak 16 sekolah seluruh negara menyertai bengkel berkenaan yang diadakan sempena EMK.

Disiarkan pada: March 1, 2018 @ 7:48am
d