mutakhir

Peserta bertambah

Oleh Ernalisa Othman

Johor Bahru: Festival Layang-Layang Sedunia Pasir Gudang 2018 (FLLSPG) kali ke-23, acara berprestij bertaraf antarabangsa yang amat dinanti-nantikan peminat layang-layang dari seluruh negara.

Acara berkenaan yang bermula semalam, mengumpulkan peminat dan peserta dari pelbagai negara sekali gus dilihat dapat meningkatkan minat generasi muda bagi mengelak kepupusan permainan tradisi berkenaan.

Tinjauan hari pertama FLLSPG 2018 mendapati festival yang berlangsung di Bukit Layang-Layang, Pasir Gudang mendapat sambutan terutama dalam kalangan murid tadika dan pelajar sekolah rendah sekitar Pasir Gudang.

Aktiviti pagi dimulakan dengan pertandingan peringkat kebangsaan dan peringkat sekolah.

Sebanyak 21 pasukan menyertai pertandingan di peringkat kebangsaan dengan 105 peserta dari sembilan negeri terbabit dalam pertandingan bagi kategori Wau Bulan,Wau Kucing dan Wau Jalabudi.

Sementara itu, 72 pasukan di peringkat sekolah dengan 288 peserta terbabit dalam acara Wau Bulan Peringkat Sekolah.

Selain itu, bengkel membuat wau peringkat kebangsaan diadakan sebelah petang hari pertama FLLSPG.

Sebanyak 1,157 pelayang dari dalam dan luar negara mengesahkan penyertaan menyertai festival selama lima hari bermula semalam dan berakhir 4 Mac.

Peserta baru dari Finland dan Norway turut menyertai festival kali ini dengan tema Memperkasa Komuniti Dunia.

Dijangka 150,000 pengunjung dari dalam dan luar negara mengunjungi festival berkenaan.

Disiarkan pada: March 1, 2018 @ 7:59am
d