mutakhir

Penagih rempuh penguat kuasa

Oleh HM Digital

Semenyih: Dua penagih dadah tegar mempamerkan aksi berani mati apabila merempuh anggota penguatkuasa menggunakan motosikal ditunggang ketika cuba melarikan diri selepas sarang menagih dadah mereka diserbu pihak berkuasa, semalam.

Kejadian jam 11 pagi itu, menyebabkan dua anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Cawangan Hulu Langat cedera ringan akibat terjatuh selepas dirempuh suspek yang menunggang motosikal.

Malah, kedua-dua penagih terbabit yang masing-masing berusia 30-an bertindak agresif apabila cuba melawan dan menyerang anggota penguatkuasa semata-mata mahu melarikan diri daripada ditahan.

Bagaimanapun, mereka berjaya ditahan dengan bantuan anggota penguatkuasa yang sudah mengepung kawasan berkenaan.

Dua lelaki terbabit antara 39 individu termasuk seorang wanita berusia 18 hingga 67 tahun yang ditahan dalam Operasi Perdana AADK Selangor yang bermula jam 6 pagi hingga 1 tengah hari, semalam.

Ketua Pegawai AADK Daerah Hulu Langat Muhamad Ramlan Syed Ahamed berkata, pihaknya menahan 39 individu yang dalam keadaan khayal selepas menagih dadah di kawasan semak di lokasi berkenaan.

“Lokasi terbabit yang terletak berhampiran Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) dan jarak kurang satu kilometer dari jalan utama menyebabkan ia menjadi pilihan penagih dadah untuk melepaskan gian mereka. Modus operandi penagih dadah di kawasan itu adalah mereka akan mendapatkan bekalan daripada tokan yang menunggu di atas bukit.

“Setiap penagih yang mahu mendapatkan bekalan perlu mempunyai kata laluan sebelum dibenarkan membeli dan menghisap dadah di kawasan itu,” katanya.

Muhammad Ramlan berkata, lokasi itu pernah diserbu beberapa kali sebelum ini, namun masih ada penagih dadah tegar menjadikan kawasan berkenaan untuk menghisap dadah.

“Kami pernah serbuan di lokasi ini beberapa bulan lalu, namun mereka masih datang bagi melepaskan gian. Kali terakhir kami membuat serbuan di lokasi ini pada Disember tahun lalu.

“Serbuan dijalankan secara berterusan di lokasi ini bagi mengekang kegiatan menagih dadah di kawasan berkenaan,” katanya.

Disiarkan pada: March 1, 2018 @ 8:35am
d