mutakhir

JKM cari waris warga emas hilang ingatan

Oleh Mary Victoria Dass

Kulai: Dia ditemui dalam keadaan lemah dan gagal menyatakan tempat tinggal serta maklumat waris.

“Warga emas berkenaan berkulit sawo matang, berbadan kurus dan berpakaian baju kurung berwarna biru.

“Kemungkinan warga emas ini keluar dari rumah namun akibat masalah hilang ingatan, dia tidak dapat pulang,” kata Pegawai JKM Daerah Kulai Mohd Iskandar Abu Bakar mengenai warga emas, Fatimah Ahmad berusia 70 tahun diselamatkan di Taman Perindu, Senai di sini pada 25 Februari lalu.

Warga emas itu ditemui bergelandangan ketika pihaknya menjalankan operasi menyelamatkan pengemis di sekitar kawasan berkenaan.

Mohd Iskandar berkata, pihaknya juga menjalankan usaha menjejak waris warga emas itu berdasarkan alamat di kad pengenalan di Taman Saga, Kulai namun gagal mendapatkan maklumat.

“Mungkin keluarganya sudah berpindah. Buat masa ini warga emas ini ditempatkan di Rumah Seri Kenangan Johor Bahru.

“Dia mendapatkan perlindungan mengikut Seksyen 3(2) Akta Orang Papa 1977 atas perintah Mahkamah Majistret Kulai,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan waris warga emas berkenaan boleh menghubungi Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Kulai di talian 07-6622990.

Disiarkan pada: March 1, 2018 @ 8:57am
d