mutakhir

Ikan sangkar tangki PVC

Oleh Noor Ainum Ibnu Hajar Abu Seman

Jerantut: Menternak ikan menggunakan sangkar daripada tangki air polivinil klorida (PVC) membantu pesara guru menjana pendapatan sampingan, selain memenuhi masa lapangnya selepas bersara.

Baharuddin Ab Ghani, 60, dari Kampung Bukit Rang, di sini, berkata, dia memulakan perusahaan menternak ikan menggunakan tangki air berketinggian 1.8 meter itu sejak Januari tahun lalu.

Katanya, idea itu diperoleh daripada anak saudaranya yang terlebih dulu mengusahakan penternakan ikan di kawasan Sungai Pahang menggunakan kaedah sama.

“Antara kelebihan menggunakan tangki air PVC berbanding sangkar (jaring) biasa ialah daya tahannya yang tinggi sehingga lebih lima tahun dan tidak mudah reput seperti sangkar jaring.

“Apabila banjir atau ada kayu hanyut, ia tidak mudah rosak, malah haiwan seperti memerang dan biawak tidak dapat masuk ke dalamnya kerana tangki itu bertutup.

“Reka bentuk sangkar yang tajam di hadapan pula membuatkan ia mesra rintangan arus sungai,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Baharuddin berkata, lubang kecil turut ditebuk di sekeliling tangki air PVC bagi mengurangkan kemasukan sampah dan selut, sekali gus menyebabkan warna dan badan ikan bersih manakala rasanya lebih sedap.

Bapa kepada empat anak itu berkata, dia mengeluarkan belanja sebanyak RM70,000 bagi membina sangkar yang diperbuat daripada besi, dua bilik kecil dan 20 tangki air PVC itu.

“Setiap satu tangki air itu boleh memuatkan sehingga 1,500 ikan pada satu masa tetapi saya mengehadkannya kepada 1,200 ikan bagi mengurangkan masalah persaingan.

“Antara ikan yang saya ternak ialah patin, tilapia, keli dan baung,” katanya.

Menurutnya, setakat ini dia menerima banyak permintaan bekalan ikan daripada penduduk kampung, peniaga selain turut menerima tempahan untuk majlis kenduri di sekitar daerah ini.

“Alhamdulillah, hasil diperoleh lumayan iaitu lebih RM20,000 sebulan sehingga saya tidak perlu menyentuh wang pencen selama empat bulan bersara ini,” katanya yang turut merancang menambah sebanyak 10 lagi tangki air PVC berikutan permintaan tinggi terhadap ikan sangkar.

Disiarkan pada: March 1, 2018 @ 9:02am
d