mutakhir

Mat Nepal punya pukulan

Oleh Mohamad Fahd Rahmat

Batu Pahat: Wanita ini bukan saja terkandas di Kathmandu, Nepal malah direkodkan sebagai pendatang haram sejak tujuh tahun lalu.

Noorzailia Esammuddin, 30, terkandas selepas tidak dapat pulang ke negara ini apabila pasportnya dilarikan bekas teman lelakinya yang juga warga Nepal dikenali sebagai Adam, 30.

Menurut bapa saudaranya, Khairul Anuar Md Salleh, 34, situasi bertambah sukar apabila hasil hubungan terlarang antara Noorzailia dan Adam, masa depan dua anak lelaki mereka berusia enam dan tiga tahun kini kelam.

Dua anak kecil ini tidak mempunyai rekod kelahiran sekali gus menyebabkan status warganegara mereka diragui dan berkemungkinan diklasifikasikan sebagai persona non grata (tidak dikehendaki, tidak dialu-alukan).

“Kami kehilangan jejak Along setahun dan terkejut apabila dia menghubungi kami memaklumkan dia terkandas di Nepal kerana pasportnya dilarikan teman lelakinya bernama Adam.

“Memang kami marah dan kecewa dengan tindakannya sedangkan dia ada anak lelaki sulung yang ditinggalkan untuk dijaga ibunya, (Noraini Md Salleh, 47).

“Tetapi nasi sudah jadi bubur, apa yang penting kami sudah memaafkannya dan simpati dengan nasibnya. Kami mahu dia pulang dengan selamat ke Malaysia bersama anak-anaknya,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Dia berkata, sekurang-kurangnya RM80,000 diperlukan bagi membawa pulang anak sulung daripa da 11 beradik itu berikutan kerajaan Nepal mengenakan denda RM30 sehari kerana kegagalan memperbaharui visa sejak tamat tempoh.

Malah, ia tidak termasuk kos untuk proses dokumentasi dua cucu saudaranya dan kos pengangkutan ke negara ini.

Dalam pada itu, Noraini berkata, ahli keluarga termasuk anak sulung Noorzailia, Hanif Faizal Dzaifullah Abdul Rahman, 9, menanggung rindu dan risaukan keselamatannya.

“Kami semua rindukan Along. Kami harap dia dapat pulang dan ada pihak yang dapat membantu membawanya kembali ke negara ini,” katanya.

Disiarkan pada: March 1, 2018 @ 9:15am
d