mutakhir

Masalah peribadi punca gaduh

Oleh Mohd Rizal Abdullah

TIGA lelaki termasuk seorang pengawal keselamatan ditahan kerana dipercayai terbabit dalam pergaduhan di sebuah sekolah rendah di Jalan Pujut, Miri, petang kelmarin.

Dalam kejadian pada 3.30 petang, dua suspek berusia 20-an dipercayai menceroboh ke dalam sekolah dan bertindak memukul seorang pengawal keselamatan yang bertugas.

Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Lim Meng Seah berkata, dua lelaki terbabit membelasah mangsa, 54, dan merampas beberapa barangan berharga miliknya sebelum melarikan diri.

Katanya, bagaimanapun, dua suspek terbabit berjaya ditahan oleh polis di kawasan Pujut pada 1.30 tengah hari semalam.

"Siasatan awal mendapati suspek mendakwa bertindak sedemikian kerana diarahkan oleh seorang lelaki dipercayai bekas pengawal keselamatan di sekolah terbabit.

"Lelaki, 20-an, terbabit turut ditahan polis di kawasan sama tidak lama kemudian untuk siasatan," katanya sambil memaklumkan punca kejadian dipercayai akibat masalah peribadi.

Katanya, semua yang ditahan dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk tindakan lanjut.

Disiarkan pada: March 1, 2018 @ 5:05pm
d