mutakhir

PNB agih bonus khas hari ini

Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri

PERMODALAN Nasional Berhad (PNB) akan mengkreditkan bonus khas sebanyak satu sen seunit bagi 10,000 unit pertama kepada pemegang unit Amanah Saham Bumiputera (ASB) sempena ulang tahun ke-40 PNB.

Pengerusi Kumpulan PNB Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, bonus khas ulang tahun itu adalah penghargaan PNB kepada pemegang unit yang setia memberi sokongan selama ini.

“Hari ini, syarikat pengurusan unit amanah PNB iaitu Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) adalah syarikat unit amanah terbesar di Malaysia dengan 228 bilion unit dalam edaran yang mana 67.3 peratus adalah unit-unit ASB,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Pengiraan pengagihan bonus khas adalah tertakluk kepada purata baki bulanan minimum selama 12 bulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017, bagi 10,000 unit pertama sahaja.

Pemegang unit boleh menyemak dan mengemas kini akaun masing-masing melalui portal baru ASNB myasnb.com.my atau di mana-mana cawangan atau ejen ASNB di seluruh negara mulai hari ini.

Disiarkan pada: March 1, 2018 @ 8:42pm
d