mutakhir

Lokasi baru

Oleh Nurul Amanina Suhaini

Pasir Gudang: Bukit Layang-layang di Taman Bandar dekat sini, yang dinaik taraf di kawasan berkeluasan 14.16 hektar membolehkan lebih ramai peserta peringkat domestik dan antarabangsa termasuk pengunjung dihimpunkan bersama-sama untuk Festival Layang-layang Sedunia Pasir Gudang (FLLSPG) ke-23.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri Datuk Tee Siew Kiong berkata, penambahbaikan infrastruktur dan pelbagai kemudahan lain amat perlu kerana acara tahunan yang berprestij itu semakin mendapat impak dan pernah mencatat rekod dunia bagi penyertaan peserta antarabangsa teramai.

Menurutnya, arena pertandingan tempatan dan antarabangsa disatukan kembali selepas kerja melebarkan padang bagi menampung permintaan peserta festival yang semakin besar impaknya.

“Sebelum ini, pelbagai acara dijalankan secara berasingan antara peserta domestik dan antarabangsa berikutan kemudahan yang terhad, selain kawasan padang yang hanya boleh menempatkan sebahagian peserta layang-layang dalam satu masa.

“Apabila melihat peningkatan penyertaan tahun ini turut membabitkan peserta baru dari dua negara seperti Norway dan Finland menjadikannya satu impak baik kerana festival layang-layang ini adalah jenama antarabangsa yang turut membantu mempromosikan Malaysia, khususnya Johor di seluruh dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan tapak sempena FLLSPG di sini, semalam bersama Presiden Majlis Pelayang Malaysia (MPM) A Rahim Nin.

Siew Kiong berkata, pihaknya akan terus menitikberatkan usaha memupuk modal insan dalam bidang pelancongan kerana melihat senario perkembangan acara itu yang terus rancak.

“Pada 2017, kerajaan negeri meletakkan sasaran melatih 1,200 barisan hadapan sektor pelancongan menerusi kursus dan bengkel latihan dan sukacita saya maklumkan bahawa sasaran itu tercapai.

“Seramai 2,224 orang industri menyertai kursus pelancongan antaranya kursus pemandu pelancong, kursus bahasa Korea dan Jepun selain kursus We Are The Host.

“Pada tahun ini, kerajaan negeri menerusi Tourism Johor berhasrat menganjurkan beberapa kursus lain,” katanya.

Disiarkan pada: March 2, 2018 @ 7:19am
d