mutakhir

Tak ambil pusing SOP

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

Seremban: Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) mendapati wujud pertindihan arahan antara sekolah dan kontraktor berhubung kerja memotong rumput di padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tuanku Abdul Rahman, Gemas, yang mencetuskan insiden pelajar Nur Afini Roslan, 14, maut terkena bilah mesin pemotong rumput pada 13 Februari lalu.

Pengarahnya Pkharuddin Ghazali berkata, tragedi itu boleh dielakkan jika kedua-dua pihak tahu mengenai prosedur standard operasi (SOP) untuk melakukan kerja pemotongan rumput di dalam kawasan sekolah ketika sesi persekolahan.

Katanya, mereka sepatutnya menegur antara satu sama lain kerana ada guru dan pelajar di padang sekolah.

“Siasatan (JPNS) mendapati punca kejadian disebabkan berlaku pertindihan arahan,” katanya yang enggan mengulas lanjut.

Pkharuddin berkata, dua mesyuarat diadakan sebaik kejadian dan laporan diserahkan kepada Kementerian Pendidikan serta polis.

“Laporan mengenai kejadian sebenar dan tindakan pencegahan. Apa yang pasti kita tidak mahu perkara sama berulang,” katanya pada Majlis Perasmian Surau Sekolah dan Dewan Terbuka Berbumbung serta Penyampaian Bantuan Khas Awal Persekolahan 2018 di Sekolah Kebangsaan (SK) Datuk Akhir Zaman, Rantau di sini, semalam.

Menurutnya, pihaknya akan lebih tegas menguatkuasakan SOP kerja memotong rumput dalam kawasan sekolah.

“Saya minta pihak sekolah tidak berkompromi aspek keselamatan pelajar dalam kawasan sekolah. Apa yang berlaku perlu dijadikan pengajaran,” katanya.

Dalam kejadian jam 10.30 pagi, arwah Nur Afini meninggal dunia selepas bilah mesin melayang terkena kepalanya ketika menjalani latihan perbarisan.

Disiarkan pada: March 2, 2018 @ 7:38am
d