mutakhir

Ditahan beri keterangan meragukan

Oleh Farah Suhaidah Othman

LELAKI yang mendakwa ditikam sebelum wang syarikat berjumlah RM33,000 dilarikan dalam kejadian samun, kelmarin ditahan kerana memberikan keterangan meragukan.

Suspek, 25, ditahan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di sebuah hospital swasta di Ipoh pada 7.30 malam semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, lelaki terbabit ditahan berikutan keterangan yang diberikan kepada polis didapati meragukan.

“Lelaki berkenaan direman tujuh hari hingga Khamis ini, dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sebelum ini, lelaki berkenaan mendakwa cedera di bahagian kanan perut akibat ditikam dua lelaki ketika memasukkan wang syarikat di sebuah bank di Jalan Sultan Yusoff, Ipoh.

Turut disamun, wang tunai peribadi miliknya RM150 dan tiga cincin emas.

Lelaki berkenaan dimasukkan ke hospital swasta bagi mendapat rawatan lanjut.

Bagaimanapun, siasatan polis mendapati tiada saksi kejadian dan tiada rakaman kamera tertutup (CCTV) di lokasi.

Berita berkaitan

Dah samun, tikam pula

Disiarkan pada: March 2, 2018 @ 4:36pm
d