mutakhir

'Mereka tembak anjing saya'

Oleh Siti Sofia Md Nasir dan Mohamed Basyir

“ITU anjing saya, dan saya sudah pelihara sejak 15 tahun lalu,” luah K Chendeladevan, 49, pemilik anjing yang mati dalam operasi menangkap anjing liar di Batu Ferringghi, di Georgetown.

Dia mendakwa, anjing betina yang diberi nama Butcho itu mempunyai lesen sejak 2014 selain memakai kolar ketika ditangkap anggota penguatkuasa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) pada Rabu lalu.

"Tag pengenalan yang dipakai Butcho tercicir selepas dia ditembak dengan ubat pelali, dan diseret hampir 50 meter oleh anggota penguatkuasa MBPP untuk ke trak.

"Apa yang saya kesalkan adalah layanan MBPP terhadap saya ketika saya mahu menuntut kembali Butcho. Anggota penguatkuasa beritahu anjing saya melarikan diri selepas ditangkap, itu pun selepas menunggu hampir lima jam di MBPP," katanya ketika ditemui Batu Ferringhi hari ini.

Chendeladevan yang bekerja sebagai 'budak pantai' sejak 25 tahun lalu berkata, hanya dimaklumkan anjing kesayangannya mati pada tengah malam hari yang sama oleh seorang wakil MBPP.

Bagaimanapun, katanya, sehingga kini bangkai anjing itu gagal dituntut berikutan berdepan dengan pelbagai kerenah birokrasi pihak berkuasa tempatan terbabit.

"MBPP beri alasan anjing saya mati kerana sudah tua dan sakit jantung, tetapi adakah ia berdasarkan laporan bedah siasat? Saya sudah pun membuat laporan polis di Balai Polis Batu Ferringhi dan berharap siasatan dapat dijalankan terhadap kes ini," katanya.

Difahamkan, Butcho sentiasa dibiar bebas di sekitar pantai peranginan itu malah sangat jinak dan tidak mengancam pelancong.

Malah, kematiannya turut memberi kesan mendalam kepada pelancong yang kerap mengunjungi kawasan berkenaan.

Pelancong dari England, Hillary West, 54, berkata, Butcho adalah seekor anjing yang menyenangkan dan sering menghiburkan pelancong dengan telatahnya yang manja.

"Dia adalah seekor anjing yang cantik dan jinak. Dia tidak pernah menyusahkan kami. Sudah pasti saya akan merinduinya," katanya yang akan mengunjungi Pantai Batu Ferringhi setiap tahun, sejak 26 tahun lalu.

Sementara itu, Datuk Bandar MBPP Yew Tung Seang berkata, pihaknya menangkap anjing liar di Batu Ferringhi menggunakan kaedah senapang pelali, mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Katanya, dos ubat pelali yang digunakan adalah bertetapan dengan berat badan anjing dan telah disahkan oleh Pegawai Veterinar.

"Dalam kes ini, anjing berkenaan mati akibat usia tua atau mengalami serangan jantung. Walaupun insiden yang berlaku adalah tidak disengajakan, pihak MBPP sudah mengatur dengan terperinci dan menetapkan hanya anjing yang tidak berlesen dan tidak berkolar sahaja yang akan ditangkap.

"Pada masa operasi dijalankan iaitu Rabu lalu, anjing berkenaan berstatus anjing liar dan terbiar kerana tidak mempunyai lesen atau berkolar. Permohonan bagi lesen anjing itu hanya dilakukan selepas operasi dijalankan," katanya.

Disiarkan pada: March 2, 2018 @ 8:10pm
d