mutakhir

76 kakitangan HTAR keracunan makanan

Oleh Norzamira Che Noh

SERAMAI 76 kakitangan Jabatan Anestesiologi Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang mengalami keracunan makanan sejak 28 Februari lalu, selepas dipercayai makan makanan tercemar.

Pengarah HTAR Dr Ding Lay Ming mengesahkan insiden berkenaan dan memaklumkan keracunan dipercayai berpunca daripada makanan yang disediakan oleh katerer swasta dari luar hospital.

"Siasatan awal mendapati bahawa kemungkinan keracunan makanan berlaku selepas kakitangan memakan makanan yang disajikan selepas mesyuarat jabatan berkenaan pada Rabu lalu.

“Pengurusan hospital bersama-sama dengan pasukan klinikal sudah menguruskan keadaan dengan baik untuk memastikan operasi hospital berjalan lancar," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, semua pembedahan kecemasan dan perkhidmatan rawatan intensif tidak terjejas berikutan hanya satu jabatan yang terjejas.

Bagaimanapun, katanya, beberapa pembedahan elektif yang dijadualkan pada semalam dan hari ini ditangguhkan.

"Bantuan dan kerjasama berpasukan yang hebat daripada semua pihak yang terbabit membolehkan perkhidmatan bilik bedah kini sudah kembali seperti biasa.

"Pihak berkuasa berkaitan dari Kementerian Kesihatan juga akan melakukan tindakan pemulihan yang diperlukan dan kami menunggu keputusan siasatan penuh," katanya.

Dr Ding juga menafikan keracunan makanan itu berkaitan dengan demam kepialu.

Terdahulu, sebuah portal berita melaporkan kira-kira 50 kakitangan di Jabatan Anestesiologi HTAR mengalami keracunan makanan sejak Khamis lalu selepas menghadiri mesyuarat mingguan jabatan itu.

Portal berita The Sun Daily yang memetik sumber, berkata kakitangan berkenaan termasuk pakar, doktor dan jururawat terkesan selepas makan roti jala dan kari ayam yang dihidangkan katerer dalam mesyuarat itu.

Disiarkan pada: March 2, 2018 @ 9:13pm
d