mutakhir

Selesai tiga kes rompak

Oleh Erika George

PENAHANAN lima anggota Geng Leahy di Jalan Tanjung Kidurong, Bintulu, malam tadi dipercayai dapat membantu polis menyelesaikan sekurang-kurang tiga kes rompakan membabitkan premis perniagaan di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Bintulu Superintendan Zulkipli Suhaili berkata, geng berkenaan dikenal pasti antara kumpulan samun dan rompak bergerak aktif di Bintulu dan kawasan sekitarnya.

"Semua suspek berusia antara 20 hingga 24 tahun itu ditahan dalam operasi khas diketuai Inspektor Nixon Malang di Jalan Tanjong Kidurong, jam 9.50 malam hasil maklumat risikan.

"Turut dirampas sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD), selain senjata seperti pisau dan besi bersama tiga telefon bimbit dipercayai digunakan dalam kegiatan jenayah mereka," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenalpasti kenderaan 4WD yang dirampas daripada suspek adalah kenderaan curi atau sebaliknya.

"Berdasarkan modus operandi digunakan, kumpulan ini menyasarkan kedai runcit terutama di lokasi sunyi dan terpencil.

“Hasil siasatan mendapati mereka mendalangi kes rompakan kedai runcit di Batu 5 Jalan Bintulu-Miri, Assyakirin Commercial Centre dan Kidurong manakala seorang daripada suspek memiliki rekod jenayah lampau," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan atas kesalahan samun dan merompak yang memperuntukkan penjara hingga 20 tahun dan hukuman sebat jika sabit kesalahan.

Disiarkan pada: March 2, 2018 @ 9:15pm
d