mutakhir

Terowong dasar laut: Datuk disogok RM3 juta dicekup

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin dan Teoh Pei Ying

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang lagi ahli perniagaan bergelar Datuk kerana dipercayai terbabit menerima wang sejumlah RM3 juta bagi menutup kes siasatan projek mega terowong dasar laut bernilai RM6.3 bilion di Pulau Pinang.

Difahamkan, suspek berusia 64 tahun dikatakan menerima wang itu daripada syarikat pembinaan utama projek berkenaan selepas dikatakan mampu menyelesaikan siasatan dijalankan SPRM.

Sumber berkata, pihak syarikat berkenaan membayar wang berjumlah RM3 juta menerusi empat transaksi pada tahun lalu.

Difahamkan, pada asalnya, suspek telah meminta RM4 juta sebagai habuan bagi menutup kes dalam siasatan SPRM itu.

Bagaimanapun, jumlah itu dikurangkan kepada RM3 juta selepas berunding.

“Pengarah syarikat yang yakin dengan masalah itu mampu diselesaikan oleh suspek membuat pembayaran sebanyak RM3 juta sebagai habuan," katanya.

Sumber berkata, suspek ditahan di sekitar ibu negara kira-kira jam 3.30 petang tadi.

Suspek adalah individu kedua yang ditahan SPRM kerana dipercayai menerima wang kononnya bagi menutup kes siasatan projek mega terowong dasar laut itu.

Selasa lalu, SPRM menahan seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri kerana dipercayai menerima wang berjumlah RM19 juta bagi tujuan yang sama.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan berkata pasukan penyiasat masih dalam proses mengumpul bukti bagi membantu siasatan.

Beliau juga meminta semua pihak untuk tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu perjalanan siasatan kes itu dan memberikan masa kepada SPRM untuk menyiasat dengan terperinci.

Suspek akan dihadapkan ke Mahkamah Putrajaya untuk permohonan reman esok.

Disiarkan pada: March 2, 2018 @ 10:09pm
d