mutakhir

30 tan minyak masak disorok

Mohd Azam Shah Yaacob

Bergambar

PUNCA kekurangan bekalan minyak masak bersubsidi satu kilogram di beberapa tempat sekitar Lembah Klang sejak beberapa minggu lalu terjawab apabila Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kuala Lumpur menemui 30 tan minyak masak disorok di sebuah stor syarikat pemborong di Taman Bullion Mewah, dekat sini, semalam.

Penemuan itu hasil risikan dan pemeriksaan dilakukan penguat kuasa KPDNKK Kuala Lumpur selepas mendapati syarikat pembeli di Taman Mastiara, Jalan Ipoh yang sepatutnya menerima bekalan minyak masak itu tidak beroperasi.

Sebaliknya, 30 tan minyak masak berkenaan ‘dilencongkan’ ke stor sebuah syarikat pemborong di Taman Bullion Mewah yang tidak mempunyai leseh sah untuk menyimpan barangan kawalan berkenaan.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNKK Kuala Lumpur, Wan Mhd Yusof W Taib berkata, bertindak atas maklumat diperolehi, pihaknya terus menjalankan Ops Goreng II dengan menyerbu syarikat pemborong berkenaan sebelum menemui 6,205 paket minyak masak bersubsidi satu kilogram yang disimpan rapi dalam kotak.

Katanya, hasil siasatan mendapati syarikat itu melanggar peraturan mengikut Seksyen 21(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 memperuntukkan bahawa sesebuah syarikat perlu mempunyai lesen borong sah CSA untuk menyimpan bekalan minyak yang tersenarai sebagai barang kawalan.

“Sebelum kita menyerbu syarikat pemborong berkenaan, penguat kuasa KPDNKK terlebih dulu sudah membuat risikan serta meneliti dokumen termasuk invois dan penghantaran (DO) daripada syarikat pembungkusan minyak masak.

“Kita dapati wujudnya maklumat meragukan sebelum sepasukan penguat kuasa KPDNKK dikerah bagi membuat pemeriksaan dan kemudian berjaya menemui 30 tan minyak masak yang disorok di sebuah stor syarikat pemborong di Taman Bullion Mewah,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Wan Mhd Yusof berkata, syarikat pemborong itu didapati menjalankan operasi menggunakan lesen borong (CSA) sudah tamat tempoh sejak 5 Februari lalu.

“Jadi, kesemua 30 tan minyak masak itu kita rampas mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana menyimpan barang kawalan tanpa lesen yang sah.

“Nilai keseluruhan minyak maak yang dirampas itu adalah sebanyak RM11,512,” katanya.

Disiarkan pada: March 2, 2018 @ 10:22pm
d