mutakhir

Tiada tercicir

Oleh Suhaila Shahrul Annuar

Putrajaya: Kembara Kebajikan 1Malaysia (KK1M) 2018 yang membabitkan penyertaan 10,000 peserta dijangka dapat mengoptimumkan program Cari dan Bantu di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, program Cari dan Bantu adalah mekanisme penting bagi memastikan tiada golongan yang memerlukan tercicir daripada mendapat bantuan dan perkhidmatan daripada kerajaan.

Justeru, katanya menerusi KK1M 2018 pihaknya mensasarkan 3,500 kes baru membabitkan golongan yang layak menerima perkhidmatan dan bantuan daripada kerajaan khususnya Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dapat dicari dan dikenal pasti.

“Sebagai contoh, mungkin ada lagi keluarga miskin yang belum mendapat bantuan kewangan, orang kurang upaya (OKU) yang tidak berdaftar, kanak-kanak tidak bersekolah serta isu sosial lain dan kebajikan yang boleh dibantu.

“Jadi menerusi KK1M 2018 ini, kita harap dapat meningkatkan pembabitan pemimpin masyarakat, sukarelawan JKM dan pihak swasta dalam memberi perkhidmatan kepada golongan sasar jabatan.

“KK1M 2018 akan diberi kelainan yang bakal memenuhi aspirasi Transformasi Nasional 2050 (TN50) dan cabaran Revolusi Industri 4.0 (Industri 4.0) yang mana pengisiannya akan turut menjurus ke arah dua elemen besar itu,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran KK1M 2018, di sini, semalam.

KK1M adalah program dwitahunan peringkat nasional yang mula diperkenalkan pada 2014 dengan berkonsepkan ‘turun padang’ untuk mendekati rakyat di segenap kampung dan bandar.

KK1M 2018 itu bermula semalam hingga 31 Mac dijangka membabitkan penyertaan 10,000 peserta di seluruh negara termasuk 1,500 sukarelawan JKM.

Antara aktiviti yang dicadangkan dalam KK1M 2018 adalah seperti Cari dan Bantu, khidmat sukarelawan, khidmat bantu di rumah (warga emas dan OKU), Hari Kerja Sosial Sedunia, pembaikan rumah klien, khidmat kaunseling dan pemeriksaan kesihatan.

Disiarkan pada: March 3, 2018 @ 4:42am
d