mutakhir

Rezeki jinak keli

Oleh Aslina Abu Bakar

Kuala Nerus: Seorang buruh binaan berjaya membawa pulang wang tunai RM50,000 apabila berjaya menaikkan ikan keli seberat 6.5 Kilogram di Pertandingan Memancing Kelab RTM Terengganu Dan Nordin KTJ Fishing sempena Ekspo Terengganu 2018, di tasik berhampiran Stadium Negeri, Gong Badak, Kuala Nerus, semalam.

Mohd Jamri Tikan, 45, dari Pekan, Pahang berkata, apa diperoleh itu adalah hadiah paling lumayan yang pernah dimenangi sepanjang mengikuti pertandingan memancing di merata negeri.

“Sebelum ini saya pernah menang RM10,000 ketika pertandingan memancing di Pahang. Saya akan simpan duit ini untuk kegunaan keluarga, selain mahu jadikan modal untuk menyertai pertandingan sama pada masa akan datang,” katanya.

Katanya, demi minat dia bersama enam rakan sanggup datang dari jauh untuk menyertai pertandingan memancing di Terengganu.

“Kami bertolak dari rumah kira-kira jam 12 tengah malam dan tiba di lokasi memancing jam 4 pagi tadi. Sampai sekarang saya belum tidur,” kata bapa empat cahaya mata itu.

Hadiah pertandingan disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Induk 2 Ekspo Datuk Muhammad Pehimi Yusof.

Hampir 4,000 pemancing menyertai pertandingan yang menawarkan hadiah keseluruhan melebihi RM195,000.

Sementara itu, tempat kedua dimenangi Mohd Afendi Wan Razak, 22, dari Kuala Besut, Terengganu.

Mohd Afendi meraih RM30,000 manakala Mohd Syukri Yusof, dari Kampung Pak Madah, Bukit Payong berpuas hati di tempat ketiga dan membawa pulang RM15,000.

Disiarkan pada: March 3, 2018 @ 4:51am
d