mutakhir

Rebut menang rumah

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Alor Setar: Satu keluarga hingga 50 penyertaan. Itu antara kesungguhan ditunjukkan pengunjung Ekspo Muafakat Kedah (EMK) yang tidak melepaskan peluang mencuba nasib dalam cabutan bertuah bagi memenangi hadiah utama dua rumah yang akan diketahui hari ini.

Penyelaras Cabutan Bertuah EMK, Arif Hani Abd Rahman berkata, pihaknya dimaklumkan ada pengunjung yang sanggup berkunjung ke ekspo ini setiap hari sejak 24 Februari lalu dengan membawa seluruh ahli keluarga demi mencuba nasib mendapatkan hadiah utama yang ditawarkan.

Menurutnya, sambutan ditunjukkan rakyat Kedah terhadap penganjuran cabutan bertuah itu disifatkan sangat memberangsangkan apabila tiga kotak yang disediakan bagi mengisi ‘pasport’ atau borang hampir penuh terutama menjelang hari penutup ekspo, hari ini.

“Kami nampak kesungguhan pengunjung kerana ada yang menghantar 50 penyertaan yang dilakukan secara sah kerana mereka datang setiap hari.

“Sehingga kini, kami menyediakan 400,000 pasport dan sambutan yang diterima amat menggalakkan,” katanya ketika ditemui di tapak ekspo di sini, semalam.

Lebih 250 hadiah cabutan bertuah termasuk hadiah rumah, tiga kereta, enam motosikal dan pelbagai hadiah menarik ditawarkan sempena EMK yang bakal melabuhkan tirainya hari ini.

Pada masa sama, Arif Hani berkata, sehingga kini pihaknya mengagihkan kira-kira 150 hadiah yang dicabut dua kali setiap hari.

Sementara itu, pengunjung, Saad Mansor, 62, sanggup datang berkali-kali ke ekspo bersama anak dan cucu untuk mencuba nasib dengan mengambil bahagian dalam cabutan bertuah.

Katanya, dia yang tinggal bersama enam lagi ahli keluarga di Seberang Perak, dekat sini, mengharapkan dapat memiliki hadiah rumah kerana kediaman yang ada kini sempit untuk didiami mereka sekeluarga.

Sementara itu, empat pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Layar, Sungai Petani mengharumkan nama sekolah mereka apabila muncul juara Pertandingan Robotik Dwengo Antarabangsa hari ini.

Model robotik yang dihasilkan pasukan terdiri dari empat pelajar tingkatan dua, Ahmad Fuad Hafizuddin Arashad, Marwan Hadid Mahadzir, Nur Fatin Afifah Omar dan Nur Iman Najwa Mohd Azlee itu dipilih sebagai pemenang dalam pertandingan yang disertai 110 pelajar membabitkan 18 sekolah dari negeri ini dan sekolah dari Thailand.

Ilmu berkaitan Robotik Dwengo yang dipelajari ketika menghadiri satu bengkel yang diadakan bulan lalu tidak dipersiakan pasukan itu apabila meraih kejayaan.

Ahmad Fuad berkata, pertandingan itu sangat mendebarkan apabila peserta lain turut memberi saingan sengit, namun pada pusingan akhir itu mereka berjaya menyerap segala tekanan dan berjaya menamatkan tugasan menewaskan Maahad Tahfiz Sains Darul Aman, Kulim yang menjadi naib juara.

“Kami mengambil masa setengah hari untuk menyiapkan Robotik Dwengo ini semalam. Pada mulanya kami berdepan masalah untuk menentukan kelajuannya dan kadangkala ia bergerak tidak teratur.

“Namun semua halangan dan cabaran itu dapat diatasi bersama sebelum hari ini dan kami berjaya menyelesaikan tugasan itu dengan baik sehingga menewaskan peserta lain,” katanya.

Disiarkan pada: March 3, 2018 @ 4:58am
d