mutakhir

Datuk direman bantu siasatan projek terowong [METROTV]

Oleh Suhaila Shahrul Annuar

AHLI perniagaan bergelar Datuk direman empat hari bagi membantu siasatan kes menerima wang berjumlah RM3 juta untuk menutup siasatan kes projek mega terowong dasar laut bernilai RM6.3 bilion di Pulau Pinang.

Majistret Eng Kar Wen mengeluarkan perintah reman bermula hari ini hingga 6 Mac ini terhadap suspek lelaki berusia 64 tahun itu di Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini.

Suspek ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuan Malaysia (SPRM) di sekitar ibu negara, 3.30 petang, semalam.

Difahamkan, suspek didakwa menerima wang daripada syarikat pembinaan utama projek berkenaan selepas dikatakan mampu menyelesaikan siasatan dijalankan SPRM.

Pihak syarikat berkenaan dipercayai membayar wang berjumlah RM3 juta menerusi empat transaksi pada tahun lalu dan pada asalnya, suspek meminta RM4 juta sebagai habuan bagi menutup kes dalam siasatan SPRM itu, namun dikurangkan kepada RM3 juta selepas rundingan.

Setakat ini, suspek adalah individu kedua yang direman bagi membantu siasatan SPRM kerana dipercayai menerima wang bagi menutup kes siasatan projek mega terowong dasar laut itu.

Terdahulu, suspek tiba di Mahkamah Majistret pada 9.10 pagi dengan berbaju lokap SPRM dan bergari.

Berita berkaitan:

Terowong dasar laut: Datuk disogok RM3 juta dicekup

Disiarkan pada: March 3, 2018 @ 1:06pm
d