mutakhir

Dinding runtuh hempap bomba

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

“Ketika kejadian saya hanya terfikir untuk segera keluar dari sisa runtuhan dinding konkrit kerana suhunya yang tinggi lebih memberi risiko kecederaan lebih parah,” luah Waslie Kontil Ambi, 28.

Waslie adalah anggota bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bau yang cedera selepas dihempap dinding konkrit rumah yang terbakar di Jalan Wind Cave, Kampung Bau, Bau, hari ini.

Menceritakan semula kejadian itu, Waslie berkata, beliau bersama 11 lagi rakan sekerjanya dalam usaha untuk memadamkan kebakaran yang membabitkan dua rumah, awal pagi tadi sebelum dia diminta untuk mengawal api di bahagian belakang.

Menurutnya, ketika sedang menyembur air ke kawasan yang terbakar, tiba-tiba dinding konkrit menghempap belakang badannya sehingga dia tertiarap.

"Dinding konkrit berkenaan runtuh dipercayai kerana suhu panas akibat kebakaran. Rakan sekerja yang melihat kejadian kemudiannya segera memecahkan simen dinding bagi mengeluarkan saya dari sisa runtuhan.

"Mujur tong gas alat pernafasan yang digunakan dalam operasi selain pakaian perlindungan menyelamatkan saya daripada mendapat kecederaan yang lebih serius," katanya kepada NSTP, hari ini.

Waslie berkata, kejadian yang dialaminya adalah pengalaman pertama sepanjang lapan tahun bergelar anggota bomba yang terbabit dalam pelbagai operasi kebakaran.

Katanya, walaupun berdepan dengan kejadian itu, ia sedikit pun tidak mematahkan semangat untuk kembali bertugas selepas kecederaan yang dialami pulih sepenuhnya.

"Saya berterima kasih kepada rakan sekerja yang bertungkus lumus menyelamatkan saya dan bersyukur apabila doktor mengesahkan tulang belakang tidak mengalami kecederaan selepas imbasan x-ray dijalankan di Hospital Bau pagi tadi.

"Sebagai anggota bomba, kami sememangnya dilatih untuk bersedia berdepan dengan sebarang risiko yang boleh mengundang bahaya kepada nyawa namun kami tetap bersemangat memberi khidmat yang terbaik kepada masyarakat," katanya yang tidak sabar untuk kembali bertugas dalam masa terdekat.

Disiarkan pada: March 3, 2018 @ 2:16pm
d