mutakhir

[UPDATE] Sindiket dadah tukar taktik

Oleh Poliana Ronnie Sidom

SINDIKET dadah dikesan mula menukar taktik menyeludup dadah dengan menggunakan penerbangan domestik, berbanding cuma menggunakan penerbangan antarabangsa sebelum ini.

Taktik itu dikesan berikutan penahanan lima lelaki warga tempatan yang tiba dari Kuala Lumpur bersama lima bagasi mengandungi 102.99 kilogram (kg) syabu dianggarkan bernilai RM5.66 juta di Lapangan Terbang Sandakan, Selasa lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Datuk Seri T Subromaniam berkata, dadah dibawa lelaki berusia 19 hingga 29 tahun itu dibungkus dengan empat lapisan dipercayai bagi mengelak dikesan mesin pengimbas.

Katanya, siasatan kini tertumpu kepada aspek dalaman serta sindiket terbabit dan pihaknya sudah mengeluarkan arahan agar pemeriksaan rapi dilakukan ke atas setiap penerbangan domestik khususnya dari Kuala Lumpur ke Sabah dan Sarawak.

"Apa yang paling memeranjatkan, dadah itu dibawa dari Kuala Lumpur, bukan luar negara. JKDM memandang serius kejadian ini sebab biasanya jika perjalanan domestik, ia dianggap sebagai tidak berisiko.

"Disebabkan kita ada pemeriksaan rapi bagi penerbangan antarabangsa, mereka (sindiket) tukar taktik," katanya pada sidang media Wisma JKDM, Sandakan, hari ini.

Subromaniam berkata, selain mengeluarkan arahan pemeriksaan rapi ke atas penerbangan domestik, JKDM mempunyai mesin pengimbas di setiap lapangan terbang dan sistem pengurusan risiko yang boleh mengenal pasti penumpang berisiko tinggi.

Katanya, lima suspek itu dikesan selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan dan cuba melarikan diri dari balai ketibaan Lapangan Terbang Sandakan sebelum beg mereka diperiksa anggota JKDM.

"Ia adalah tangkapan terbesar di Sabah dan kedua tahun ini yang cuba menyeludup dadah menerusi laluan udara.

“Semua suspek kini direman 12 hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Berita berkaitan:

'Lima ditahan bawa dadah'

Disiarkan pada: March 3, 2018 @ 6:26pm
d