mutakhir

Tarikan bengkel layang-layang

Oleh Ernalisa Othman

Pasir Gudang: Bengkel layang-layang kebangsaan dan antarabangsa sempena penganjuran Festival Layang-Layang Sedunia Pasir Gudang (FLLS) 2018 mendapat sambutan menggalakkan pengunjung.

Tinjauan mendapati ibu bapa mengambil kesempatan membawa anak-anak berkunjung di setiap pameran yang disediakan.

Ketua Urus Setia Bengkel FLLS, Nik Ariff Nik Hassan berkata, pameran wau bulan dan wau puyuh diberi keutamaan setiap tahun.

Katanya, ia memudahkan pengunjung terutama dari luar negeri lebih memahami keistimewaan wau.

“Kalau tahun lalu kami membawa tidak kurang 15 jenis tetapi kali ini kita bawa lebih 30 jenis wau dari saiz kecil hingga besar untuk dipamerkan seperti wau jalur budi dan wau barat. Tahun ini kami juga membawa wau bulan, wau puyuh dan wau kucing.

“Setiap negeri mempunyai satu wau negeri masing-masing. Contohnya Sarawak ada wau kenyalang dan Johor ada wau merak,” katanya ditemui di Bengkel Antarabangsa FLLS, di Muzium Pasir Gudang, di sini, semalam.

Beliau berkata, pengunjung boleh melihat kesenian dan membuat wau dengan ukiran mengikut kreativiti masing-masing.

“Pengunjung diajar pembuat layang-layang yang mahir. Jadi mereka yang berminat boleh cuba buat, bukan senang hendak buat wau atau layang-layang sebegini sebab itu harga wau boleh mencecah ribuan ringgit,” katanya.

Sementara itu, pameran peserta dari Indonesia tidak kurang hebatnya apabila ramai pengunjung tertarik dengan motif layang-layang yang dibawa.

Urus setianya, Niwayang Ratni Fertinil berkata, lebih 50 layang-layang dibawa ke pameran kali ini dengan tema sumber alam dan bahan hijau iaitu seimbang dan harmoni.

Disiarkan pada: March 4, 2018 @ 8:08am
d