mutakhir

'Kami ada dua minggu'

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: “Kami hanya ada dua minggu saja lagi sebelum ke Hospital Renji di Shanghai, China untuk pemindahan hati anak tetapi duit masih tidak mencukupi,” kata Noorinie Stofar, 31.

Wanita itu adalah ibu kepada Muhammad Fakhri Hakim Mohd Fazil yang berusia setahun dan menghidap penyakit kegagalan fungsi hati.

Noorinie berkata, dia dan suaminya, Mohd Fazil Othman, 34, buntu kerana mereka masih kekurangan dana, sedangkan tarikh berlepas ke China semakin hampir dan Muhammad Fakhri Hakim perlu dibedah pada 19 Mac.

Menurutnya, ketika ini mereka masih kekurangan RM130,000 daripada kos keseluruhan RM250,000.

“Berkat bantuan dan sumbangan orang ramai, sebahagian wang dapat dikumpulkan, namun ia masih belum mencukupi.

“Anak saya perlu pembedahan segera kerana keadaannya semakin kritikal dan mengalami muntah serta najis berdarah.

“Ketika ini, Fakhri dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sejak lebih seminggu lalu,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Menurutnya, dia dan suami sanggup berkorban dan melakukan apa saja cara demi kesihatan anaknya termasuk menyerahkan sebahagian hati kepada anak bongsu daripada dua beradik itu.

“Namun dari segi kewangan, kami tidak mampu kerana hanya suami menyara keluarga dengan pendapatan RM1,000 sebulan sebagai pemandu lori.

“Oleh itu, saya merayu orang ramai supaya dapat menyalurkan bantuan bagi menampung pembedahan pemindahan hati anak serta berharap ia mampu dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan,” katanya.

Pada Februari lalu dilaporkan keluarga Muhammad Fakhri Hakim yang tinggal di Kampung Batu 11, Tanah Merah memerlukan dana sebanyak RM250,000 untuk pembedahan pemindahan hati bayi itu di China.

Orang ramai yang ingin menyumbang kepada Muhammad Fakhri Hakim boleh menyalurkannya ke akaun CIMB Bank 7623 1303 89 atas nama Noorinie atau menghubungi talian 019-9141775.

Disiarkan pada: March 4, 2018 @ 8:16am
d