mutakhir

Pertemuan 'budak sekolah'

Oleh Amran Yahya

TIGA puluh enam bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Undang Abdul Manaf, Johol, sanggup menempah pakaian seragam sekolah semata-mata ingin mengembalikan nostalgia zaman persekolahan sekitar tahun 90-an.

Lebih menarik, program ala-ala ‘perhimpunan pagi’™ turut diadakan sambil mereka menyanyikan lagu Negaraku sekali gus mengimbau kembali detik-detik persekolahan lalu.

Suasana ceria jelas terpancar kepada bekas pelajar sekolah terbabit yang mana perjumpaan ini khusus diadakan bagi pelajar yang kini semuanya telah berusia 37 tahun.

Menurut penyelaras program, Wan Hanita Wan Abd Talip, 37, perancangan rapi telah dibuat sejak enam bulan lalu dan akhirnya satu perjumpaan bersejarah ini telah direalisasikan semalam.

“Pada mulanya kami ragu-ragu kerana menyangka mungkin ramai yang tidak akan memakai seragam sekolah tetapi Alhamdulillah, mereka semua telah memberi kerjasama yang baik.

“Ada segelintir yang tidak sempat memakainya kerana mereka hanya mengetahui mengenai perjumpaan ini di saat akhir. Bagaimanapun, kehadiran mereka cukup membuktikan kerinduan terhadap sekolah dan rakan sebaya yang telah terpisah selama 20 tahun,” katanya.

Menurut Wan Hanita, ketika menuntut pada pada 1994- 1998 dahulu, mereka mempunyai 70 orang pelajar yang membabitkan tiga buah kelas.

“Saya telah berusaha menjejaki mereka melalui Facebook dan WhatsApp tetapi ramai yang gagal dikesan dan ada di antara mereka yang tidak dapat hadir atas kekangan komitmen lain.

“Bagaimanapun, kami akan terus berusaha agar suatu hari nanti kami akan dipertemukan dalam jumlah yang lebih ramai.

“Kami juga sedang merancang untuk mewujudkan dana berupa tabungan serta kutipan kilat bagi membantu rakan-rakan kami yang bermasalah," katanya.

Bekas pelajar, Farah Azhani, 37, berkata dia sanggup datang dari Johor Bahru semata-mata ingin bertemu rakan sebaya.

“Perjumpaan ini sudah pasti membawa seribu kenangan semasa zaman persekolahan. Sukar digambarkan apabila kami sama-sama memakai pakaian sekolah dan bercerita kembali kenangan pahit manis ketika di bangku sekolah,” katanya.

Disiarkan pada: March 4, 2018 @ 2:42pm
d