mutakhir

Ingatkan nak bertelur, rupanya dah mati

Oleh Rosli Ilham

“SAYA ingat penyu itu naik untuk bertelur di depan rumah, tetapi selepas diperiksa rupanya ia sudah mati,” kata nelayan, Mokhtar Zakaria, 55.

Mokhtar menemui bangkai seekor penyu yang terjerut dengan tali di pantai Jambu Bongkok, Marang kira-kira 100 meter dari rumahnya, malam semalam.

Menurutnya, dia menemui bangkai penyu agar betina spesies ‘Chelonia Mydas’ seberat 80 kilogram itu pada 10 malam.

“Selepas solat Isyak, saya turun ke depan rumah untuk mengambil angin sebelum melihat kelibat penyu itu dalam kegelapan malam.

“Saya rasa pelik kerana biasanya penyu mula naik bertelur sekitar Mei. Saya kemudian pergi ke arah penyu itu sebelum mendapati ia tidak bergerak dan sudah mati dengan seutas tali terjerut di kepalanya,” katanya.

Katanya, dia percaya penyu terbabit mati akibat dijerut nelayan asing sebelum dicampak ke laut.

“Kalau nelayan tempatan, apabila penyu masuk ke pukat, kami naikkan dan lepaskan semula ke laut,” katanya.

Katanya, dia kemudian memaklumkan perkara itu kepada pegawai Institut Penyelidikan Perikanan Penyu dan Hidupan Marin Terancam (FRI) Rantau Abang untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Pasukan Penyelamat FRI Rantau Abang Mohd Tamimi Ali Ahmad berkata, pihaknya bergegas ke tempat kejadian untuk menjalankan siasatan sebaik dimaklumkan mengenai penemuan terbabit.

Katanya, siasatan mendapati penyu itu sudah mati dalam tempoh 24 jam dan bangkainya sudah hampir reput dan berbau.

“Mereka ini mungkin ingin mengambil penyu itu hidup-hidup dengan mengikat kedua-dua kaki renang hadapannya.

“Tetapi dalam kes ini, mungkin penyu itu tercicir daripada kapal mereka dan tali yang diikat mengakibatkan penyu tidak dapat berenang dan mengambil nafas.

“Ia jelas kelihatan bahawa tali yang terbelit itu sengaja diikat pada kedua-dua kaki renang hadapannya,” katanya.

Menurutnya, dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini, sebanyak empat penyu dilaporkan mati.

“Sebelum ini dua penyu ditemui mati di Pantai Teluk Mak Nik di Kemaman dan satu di Pantai Batu Rakit, Kuala Nerus,” katanya.

Disiarkan pada: March 4, 2018 @ 5:56pm
d