mutakhir

Sita jentera berat 'curi' balak

Oleh Roselan Ab Malek

JABATAN Perhutanan Pahang menyita empat jentera berat dipercayai digunakan untuk pembalakan haram dalam operasi di Hutan Simpan Sungai Rengat, Ulu Cheka, Jerantut, kelmarin.

Pengarahnya Datuk Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata, serbuan itu dilakukan 20 pegawai dan anggota diketuai Ketua Penolong Pengarah Penguat kuasaannya Rahim Ramli.

Katanya, mereka sebelum itu membuat siasatan di lokasi yang dilaporkan oleh penduduk kampung serta viral di Facebook, baru-baru ini.

“Dalam operasi di Hutan Simpan Sungai Rengat pada 10.40 malam (Rabu) hingga 1 pagi Khamis, kami menemui empat jentera berat dipercayai digunakan untuk membuat laluan jalan sebelum mengeluarkan kayu balak di kawasan berkenaan.

“Bagaimanapun, tiada tangkapan dibuat dan semua kenderaan berat iaitu sebuah lori, jengkaut dan jentolak terpaksa dikeluarkan pada keesokkannya (Jumaat).

“Semua kenderaan terbabit sudah dibawa ke stor penyimpanan barang rampasan di Pejabat Ladang Hutan Kemasul, Bera untuk siasatan lanjut,” katanya, hari ini.

Katanya, pihaknya tidak menerima permohonan untuk mengeluarkan balak di kawasan berkenaan daripada mana-mana syarikat, dan aktiviti membina laluan itu dihentikan serta-merta.

“Ini bermakna mereka melanggar peraturan, malah turut memusnahkan sebahagian alam sekitar di kawasan hutan berkenaan sehingga mendatangkan kesan kepada penduduk setempat,” katanya.

Menurutnya, penduduk di sembilan kampung berhampiran turut bimbang sumber air di kawasan mereka tercemar berpunca daripada kerja-kerja membina laluan itu sehingga menyebabkan tebing sungai runtuh dan menyebabkan air sungai menjadi keruh.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti pembalakan haram boleh melaporkannya kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

Disiarkan pada: March 4, 2018 @ 6:47pm
d