mutakhir

Teruja buat wau

Oleh Nurul Amanina Suhaini

Pasir Gudang: Festival Layang-layang Sedunia Pasir Gudang (FLLSPG) di Bukit Layang-layang, Taman Bandar, di sini, yang berakhir semalam terus menjadi tumpuan orang ramai termasuk pelajar sekolah.

Bukan hanya pelajar, malah guru juga tidak melepaskan peluang menyumbang tenaga dan idea bersama pelajar mereka dalam menghasilkan layang-layang atau wau ciptaan mengikut kreativiti tersendiri.

Antaranya, warga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Parit Betak, Pontian yang menyertai festival itu sejak 2010.

Guru sekolahnya, Rashid Ismail, 46, berkata, pelbagai pendekatan boleh digunakan oleh pihak sekolah bagi menggalakkan pelajar beriadah, di samping mencungkil bakat terpendam yang boleh diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

Katanya, sekolah itu pernah menjuarai pertandingan itu dalam beberapa kategori untuk tiga tahun berturut-turut, sekali gus membuktikan sukan tradisi mampu menarik minat lebih ramai anak muda.

“Pada tahun ini, SMK Parit Betak menghantar sembilan pelajar dan tiga guru yang mewakili tiga pasukan bertanding dalam lima kategori, antaranya wau bulan tradisional, layang-layang ciptaan dua dimensi (2D), ‘rokkaku’, selain layang-layang ‘train kite’ serta ‘air banner’.

“Saya kagum melihat kesungguhan, disiplin dan komitmen yang ditonjolkan pelajar bagi menghasilkan sebanyak 159 layang-layang yang mengambil tempoh sebulan untuk disiapkan mengikut kreativiti.

“Mereka (pelajar) sanggup mengorbankan waktu cuti dan rehat mereka bagi memberikan tumpuan sepenuhnya untuk menyiapkan layang-layang ini. Kadangkala, ada ibu bapa membawa makanan untuk kami apabila terpaksa menyiapkannya pada waktu malam.

“Berikutan persaingan yang semakin sengit, pihak sekolah turut menggunakan strategi mendapatkan bimbingan nasihat dan jurulatih daripada Persatuan Pelayang Johor bagi memastikan produk dihasilkan dengan sempurna,” katanya.

Rashid berkata, antara cabaran utama adalah menghasilkan 50 layang-layang ‘train kite’ berukuran 50 meter yang bertemakan bentuk haiwan bersayap kerana kesilapan teknikal mudah berlaku seterusnya menyebabkan pelajar perlu mengulangi proses pembuatan.

“Pihak sekolah berharap mereka mampu mengungguli seperti acara tahun sebelum ini. Selain seronok melihat pelajar bebas bermain dan berlari bersama layang-layang di padang yang luas, lebih manis apabila mereka menaiki podium menerima hadiah bersama peserta dewasa serta antarabangsa,” katanya.

Dalam pada itu, pelajarnya, Noor Khuzaimah Rukani, 17, berkata, bermain layang-layang bersama rakannya dapat merapatkan hubungan sesama sendiri.

FLLSPG ke-23 menyaksikan penyertaan 1,175 peserta antarabangsa dan tempatan yang mempertandingkan 33 kategori.

Festival yang berlangsung lima hari sehingga semalam, turut membabitkan penyertaan sebanyak 72 pasukan peringkat sekolah dan 84 pasukan peringkat kebangsaan.

Disiarkan pada: March 5, 2018 @ 9:19am
d