mutakhir

Semua nak tahu

Oleh Mohamed Farid Noh

Kluang: “Saya doakan misi pencarian MH370 yang dikendalikan Ocean Infinity berjalan lancar kerana kita semua ingin tahu apa yang sebenarnya terjadi,” kata Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Menteri Pertahanan berkata, seperti semua rakyat Malaysia yang lain terutama waris dan keluarga terbabit, tragedi MH370 meninggalkan kesan mendalam terhadap dirinya.

Hishamuddin yang memangku jawatan Menteri Pengangkutan ketika pesawat itu hilang juga berharap, semua keluarga mangsa yang terbabit terus tabah dan bersabar.

“Tragedi MH370 memang amat dekat di hati saya. Saya selalu berdoa supaya ada pengakhiran yang boleh disimpulkan supaya waris dan keluarga mendapat jawapan sebenar.

“Saya masih ingat lagi ketika mengendalikan kehilangan pesawat itu sewaktu memangku jawatan Menteri Pengangkutan, saya meletakkan kedudukan keluarga penumpang MH370 sebagai keutamaan.

“Kalau saya berada dalam keadaan keluarga mangsa, sudah pasti saya juga akan tertanya-tanya sama ada siasatan atau misi pencarian akan mendapat hasil, sekali gus memberi kelegaan dan penutup terhadap semua penderitaan ditanggung,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival Orang FELDA Sembrong Kita di FELDA Ulu Penggeli, dekat sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pengalamannya menyelaras misi pencarian MH370.

Hadir sama, isterinya, Datin Seri Tengku Marsilla Tengku Abdullah dan Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Abdul Samad.

Pesawat Boeing 777 penerbangan MH370 yang dalam penerbangan ke Beijing dengan 239 penumpang dan anak kapal hilang pada 8 Mac 2014 selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Kumpur (KLIA) pada tengah malamnya.

Januari lalu, syarikat eksplorasi persendirian, Ocean Infinity memulakan misi mencari MH370 dan menyasarkan untuk menemui bangkai pesawat itu dalam tempoh Jun atau Julai tahun ini.

Disiarkan pada: March 5, 2018 @ 9:49am
d