mutakhir

Penduduk desak kaji jajaran LRT3

Oleh HM Digital

Shah Alam: Kira-kira 300 keluarga yang menghuni kawasan perumahan Jalan Plumbum, Seksyen 7 di sini mendesak jajaran LRT3 (GS06) dikaji semula.

Ia berikutan lapan tiang berdiameter 1.6 meter untuk jajaran terbabit bakal dibina di atas padang permainan di kawasan perumahan itu.

Tambahan pula, penghuni di situ hanya mengetahui pada 10 Februari lalu mengenai jajaran LRT3 bakal merentasi kawasan perumahan mereka.

Yang Dipertua Persatuan Penduduk Jalan Plumbum 101 dan 103, Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman berkata, dalam pertemuan itu, penduduk terkejut apabila dimaklumkan pelan pembinaan diluluskan sedangkan mereka tidak mengetahuinya.

“Selama ini kami hanya tahu LRT3 akan dibina berhampiran i-City tetapi tidak tahu lokasinya sehingga pertemuan rasmi itu pada 10 Februari lalu dengan pemilik projek, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), MRCB dan Rahimkon bahawa jajaran LRT3 akan mengambil sebahagian besar padang permainan di kawasan kami ini.

“Lapan tiang itu akan dibina dengan jarak 20 meter dari pagar kediaman kami.

“Pada hari itu juga, setelah diminta, pihak terbabit menunjukkan maklumat terperinci termasuk pelan pembinaan jajaran di padang permainan ini.

“Apa yang kami kesal, tiada sebarang pendengaran awam atau pertemuan dengan penduduk yang dibuat sebelum ini,” katanya.

Lokman bagaimanapun berkata, penduduk di kawasan perumahan itu tidak pernah menolak pembangunan termasuk pembinaan LRT3, namun lokasi jajaran itu perlu lebih sesuai dan tidak mengganggu penempatan penduduk.

“Pandangan dan cadangan setiap penduduk terutama yang tinggal terlalu hampir dengan lokasi perlu diambil kira,” katanya ketika ditemui.

Disiarkan pada: March 5, 2018 @ 9:56am
d