mutakhir

Rayu bantu anak leukemia

Oleh Sabaruddin Abd Ghani

Baling: Seorang ibu tunggal di Kampung Paya Besar Hulu Kuala Ketil, dekat sini, merayu bantuan bagi menampung kehidupannya sekeluarga lima beranak termasuk anak yang menghidap leukemia atau kanser darah.

Norliza Awang, 44, berpendapatan RM400 sebulan hasil daripada menoreh getah terpaksa berbelanja secara berhemah bagi memastikan perbelanjaan harian dan perubatan anak terjamin.

Katanya, dia juga terpaksa mengikat perut bagi memastikan rawatan anak lelakinya, Muhamad Ikmal Razy Md Sobri, 20, yang perlu berulang alik ke ke Hospital Pulau Pinang (HPP) tidak terjejas.

“Sebelum penyakit terbabit dapat dikesan akhir tahun lalu, Muhamad Ikmal sering demam untuk tempoh yang lama dan tidak sembuh biarpun menerima rawatan di Klinik Kesihatan Kuala Ketil.

“Selepas mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim Shah (HSAH) Sungai Petani pada bulan lalu, saya sekeluarga sangat terkejut kerana dia disahkan menghidap leukemia yang memerlukan rawatan susulan, sekali gus membabitkan perbelanjaan yang banyak,” katanya di rumahnya, di sini, semalam.

Norliza berkata, Muhamad Ikmal Razy baru sahaja dibenarkan pulang selepas menjalani rawatan kimoterapi selama sebulan di HPP sejak awal Februari lalu dan kini hanya bergantung kepada ubat yang dibekalkan hospital.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) atas nama Norliza Awang 0212629 000088781 atau menghubunginya di talian 019-543 3692.

Disiarkan pada: March 5, 2018 @ 10:01am
d