mutakhir

'Kami tak setuju'

Oleh Siti Nur Mas Erah Amran

Kuala Lumpur: Lebih 500 penduduk De Puncak Ukay, Taman Ukay Perdana membantah cadangan projek perumahan kawasan cerun bukit yang dikhuatiri akan mengancam keselamatan mereka di kawasan berkenaan.

Pengerusi Persatuan Penduduk De Puncak Ukay (DePURA) Zaini Ramlee mendakwa, pembinaan 100 rumah dua setengah tingkat yang bakal didirikan di kawasan yang mempunyai lebih daripada 50 darjah kecerunan berhampiran kediaman penduduk bakal mengundang masalah pencemaran alam sekitar.

“Difahamkan, projek terbabit sudah mendapat kelulusan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) sejak 2008 namun kerja pembinaan hanya akan bermula selepas Tahun Baru Cina.

“Jika projek itu dilaksanakan, kedudukan kawasan kediaman kami akan menjadi lebih rendah dan dikhuatiri akan berlaku banjir kilat dan tanah runtuh ditambah dengan keadaan cuaca yang tidak menentu.

“Justeru, kami ambil langkah awal dengan membuat bantahan supaya pihak pemaju lebih peka dengan aspek keselamatan penduduk di sini,” katanya.

Difahamkan, persatuan akan mendapatkan khidmat juru ukur tanah bebas untuk mengetahui lebih lanjut berhubung struktur topografi kawasan penempatan sebelum data terbabit dihantar kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk tindakan lanjut.

Penduduk, Datuk Nik Haidi Nik Mohamad berkata, persatuan sudah menghantar surat aduan kepada Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin berhubung isu terbabit.

Disiarkan pada: March 5, 2018 @ 10:12am
d