mutakhir

Kamar tidur di dapur

Oleh Betty Subaryati

Kota Bharu:“Setiap kali hujan di waktu malam, kami akan tidur di ruang dapur,” kata pelajar tingkatan lima, Noor Aniesa Syafina Mohd Shaidi mengenai kemiskinan keluarganya.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Sakti yang berusia 17 tahun itu berkata kediaman yang didiami 11 ahli keluarga termasuk ibu bapanya, Mohd Shaidi Mahmood, 54, dan Ramlah Abd Rahman, 42, terlalu uzur dengan kebanyakan dinding bilik berlubang dan atap bocor.

“Pendapatan ayah yang bekerja buruh tidak mencukupi untuk menyara kami sekeluarga terutama lima daripada kami masih bersekolah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gelung Machang, Panchor di sini, semalam.

Anak kelima daripada sembilan beradik itu berkata, rumah itu mempunyai dua bilik, tapi setiap kali hujan mereka tidak boleh tidur di dalamnya kerana atap bocor.

Penderitaan keluarga ini mendapat perhatian Ketua Wanita UMNO Pengkalan Chepa Zarina Md Eusope yang melawat keluarga itu bersama rombongan ahli Skuad Sayang Wanita UMNO di rumahnya, semalam.

Sementara itu, Ramlah berkata, mereka menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan menerima RM400 sebulan.

“Kami hanya mampu merayu mana-mana pemimpin politik supaya membantu membaik pulih rumah ini, selain kami sering berdepan kesusahan menyara kehidupan harian terutama perbelanjaan sekolah anak,” katanya.

Zarina ketika ditemui berkata, pihaknya akan memberi bantuan kepada lima anak Ramlah yang masih bersekolah dan membaiki rumah keluarga itu.

“Lima anak Ramlah masih bersekolah iaitu tiga di sekolah menengah dan dua lagi sekolah rendah. Malah saya dimaklumkan Ramlah juga berhutang yuran sekolah,” katanya.

Disiarkan pada: March 5, 2018 @ 10:24am
d