mutakhir

Badang Banjar

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Bagan Serai : Jaguh kupas kelapa menggunakan gigi Mohamad Zaki Umar, 28, membuktikan kehebatannya apabila dinobatkan Badang Banjar sempena Karnival Sukan Bendang, Pencarian Badang dan Srikandi Banjar di Parit Simpang Lima, Alor Pongsu, di sini, semalam.

Mohamad Zaki dari Kedah dan bukan berbangsa Banjar turut beraksi gagah menarik traktor seberat lima tan, sekali gus mengetepikan cabaran lima peserta akhir yang berjaya menempuhi lima halangan sukar.

Katanya, dia terhibur dengan karnival yang diadakan di kawasan sawah padi anjuran Kelab Kulaan Malaysia (KKM) dan langsung tidak menjangka akan dinobat gelaran itu.

“Antara halangan sukar yang perlu dilalui peserta adalah mengupas kelapa dan menarik traktor.

“Bagi acara mengupas kelapa semua peserta disediakan parang, namun saya memilih mengupasnya menggunakan gigi berikutan sudah biasa dan pernah memasuki juara pertandingan sebegitu pada 2014,” katanya.

Gelaran Srikandi Banjar pula dianugerahkan kepada Napisah Saad, 38, dari Taman Seri Pongsu di sini, selepas menewaskan 10 peserta lain.

Napisah berkata, dia kali pertama memasuki pertandingan itu dan tidak meletak sebarang harapan memenangi pertandingan kerana dia juga bukan orang Banjar.

“Saya memasuki pertandingan ini sekadar suka-suka kerana ingin merasai pengalaman sebagai orang kampung.

“Tidak sangka pula saya berjaya menyudahkan lima halangan yang disediakan seterusnya dinobat sebagai Srikandi Banjar.

“Antara halangan paling sukar adalah menangkap belut dan ikan keli dalam selut kerana geli dan licin, namun saya berjaya ketepikan perasaan itu dan melakukannya,” katanya.

Karnival dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Pongsu Datuk Sham Mat Sahat.

Disiarkan pada: March 5, 2018 @ 10:31am
d